Wanita Dijangkiti MERS-CoV Lari Dari Hospital Miri

Miri – Dek kerana enggan dikuarantinkan, seorang warga emas yang disyaki dijangkiti Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV), bertindak melarikan diri dari hospital hari ini.

 

Difahamkan, pesakit wanita itu dimasukkan ke Hospital Miri semalam, setelah menunjukkan simptom dijangkiti virus MERS-CoV.

 

Sumber polis memaklumkan The Rakyat Post, keluarga wanita itu dikatakan mengambilnya dari bilik kuarantin pada jam 7 petang tadi, walaupun telah dimaklumkan mengenai situasi pesakit berkenaan.

 

“Keluarga wanita itu membawa pesakit itu pulang untuk mendapat rawatan di hospital di Brunei, tetapi hospital berkenaan dikatakan enggan menerimanya.

 

“Sebaliknya, mereka diminta berpatah balik ke Miri untuk mendapatkan rawatan,” kata sumber berkenaan.

 

Sumber itu turut memaklumkan, wanita warga emas terbabit baru pulang dari mengerjakan umrah di Mekah dan pihak hospital bertindak mengkuarantinnya, sementara menunggu keputusan ujian ke atas sampel kahaknya.

 

MERS-CoV adalah penyakit sindrom pernafasan berpunca daripada jangkitan virus Corona yang mudah tersebar melalui udara.

 

Ia menyerang sistem saluran pernafasan, termasuk paru-paru dan gejalanya adalah demam, batuk serta sukar bernafas.

 

Dilaporkan daripada setiap 10 pesakit yang dikesan dijangkiti MERS-CoV, seramai tiga hingga empat pesakit itu menemui ajal.

 

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mula mengesan penyakit berkaitan pernafasan itu pada 26 September 2012 di Arab Saudi, selepas kes pertama dikenal pasti di Jordan pada April tahun sama.

 

Setakat ini, semua kes yang dikesan, didapati ada hubung kait dengan negara-negara di Semenanjung Arab.

 

Ketua Polis Daerah Miri, DSP Stanley Ringgit mengesahkan kejadian ini dan berkata, pihaknya telah memaklumkan pihak berkuasa kesihatan dan pegawai Jabatan Imigresen di pintu masuk sempadan negara di Sungai Tujoh.

 

“Setakat ini, pesakit terbabit masih bebas di luar sana dan kami percaya dia sekarang berada di Brunei,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.