Segeralah Bertindak MKN! – Gesa Annuar Musa

Kuala Lumpur – Bekas menteri, Tan Sri Annuar Musa menggesa kerajaan, khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak berlengah dalam menyediakan perancangan awal bagi menghadapi bencana alam, terutamanya gempa bumi.

 

Katanya, MKN juga harus mempelajari kaedah serta prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan negara, seperti Jepun sebagai persediaan awal menghadapi bencana berkenaan.

 

Menurutnya, MKN harus bertindak segera demi kepentingan rakyat, bagi mengelakkan rakyat terus sengsara, seperti yang berlaku dalam pengurusan banjir sebelum ini.

 

“Kita harus belajar kaedah dan SOP dari Jepun. Jangan berlengah.

 

“Jangan jadi macam mengurus rumah banjir…segalanya terbantut oleh birokrasi dan sentimen sempit hingga rakyat terus menderita, segeralah bertindak,” gesanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau, pada Sabtu.

 

Ahli Parlimen Ketereh itu turut menyarankan MKN mengambil langkah awal, dengan mempersiapkan pangkalan hadapan bagi menghadapi bencana alam, khususnya gempa bumi.

 

Katanya, latihan keselamatan juga penting sebagai persediaan jika berlaku gempa bumi, selain MKN perlu memperkasakan operasi mencari dan menyelamat.

 

“Kerajaan juga perlu menyemak aset yang ada…gempa bumi tidak bermusim dan ia boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

 

“Segala petunjuk semakin ketara bahawa “Ring of fire” meluas ke Sabah,” ujarnya.

 

Pada 5 Jun lalu, seramai 18 mangsa yang terdiri daripada pendaki serta malim Gunung Kinabalu, termasuk warga asing maut akibat gempa bumi di Ranau.

 

Seminggu telah berlalu dan gempa susulan terus berlaku di sekitar Ranau, Tuaran dan Tawau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.