Saya Sedia Jadi Hamba DAP – Pak Samad

Kuala Lumpur – Sasterawan ‎Negara Datuk A Samad Said yang baru menyertai DAP mengakui bersedia menjadi “hamba” kepada parti itu dan menolak sekiranya diberi jawatan dalam parti.

 

Samad yang mesra dengan panggilan Pak Samad berkata, ‎beliau sebelum ini pernah menyatakan hasrat kepada pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang untuk menjadi pengikut yang setia dan jujur, bermula dari bawah.

 

“Setakat ini belum ada pertemuan dengan pucuk pimpinan. Saya baru menyertai (DAP) tetapi saya bersedia jadi hamba bukan jadi pemimpin‎,” katanya kepada pemberita selepas menjadi panel forum bahasa anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan di Shah Alam, hari ini.

 

Pak Samad secara rasmi menyertai DAP semalam dalam program Gabungan Impian Kelantan di Kampung Pasir Tumbuh, Kelantan‎.

 

Katanya, berada dalam politik beliau lebih selesa mengambil pendekatan untuk berunding secara tertutup jika ada kelemahan atau kritikan terhadap DAP atau Pakatan Rakyat (PR).

 

“Kalau ada sesuatu yang tidak benar atau sulit saya bersedia berunding secara tertutup, bukan macam ahli politik yang ada ini dia senggol satu sama satu di luar,” katanya.

 

Pengerusi Yayasan Teoh Beng Hock ‘Trust for Democracy’ itu ‎berkata, penyertaannya dalam DAP bukan untuk mendapat kuasa dan tidak bercita-cita menjadi wakil rakyat dalam pilihan raya akan datang, salah satunya kerana faktor usia.

 

Pak Samad turut mengakui sebelum ini pernah dipelawa beberapa pihak untuk menjadi calon semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

 

“Tetapi akhirnya terpulang kepada parti sebab saya jadi hamba kepada parti.

 

“Kalau berlaku apa-apa yang luar biasa itu bukan kerana saya yang menekankan tetapi saya yang mengisi.

 

“Oleh kerana usia dan masuk bukan kerana kuasa, untuk membetulkan kuasa, ya, mendapatkan kuasa, tidak,” katanya.

 

Katanya, untuk menjadi ahli politik yang waras, setiap individu perlu menerima susunan hierarki dalam parti walaupun sudah memiliki nama besar dalam bidang lain.

 

“Kelebihan saya sasterawan negara dan sudah mempunyai nama tersendiri. Oleh kerana usia saya tua orang segan jadi itu yang penting,” katanya.

 

Bagaimanapun katanya, akhirnya terpulang kepada pemimpin tertinggi DAP untuk menentukan kedudu‎kannya dalam parti.

 

Bercakap dalam forum, Pak Samad berkata perananya juga membolehkan pengaruh DAP tembus ke kawasan pedalaman masyarakat Melayu seperti program ‎penyerahan rumah mangsa banjir inisiatif Gabungan Impian Kelantan (GIK).

 

“Kalau DAP masuk kampung, saya yang masuk mereka terima.

 

“Derma orang Cina bagi haram tapi kalau ‎Melayu yang derma (itu) harum,” katanya.

 

Sementara itu, mengulas ‎kefasihan wakil rakyat DAP bertutur Bahasa Melayu dalam Dewan, katanya prestasi mereka amat baik ketika berhujah dan pembentangan isu.

 

“Sama sekali tidak ada masalah dalam Dewan malah mereka adalah hasil didikan yang bagus,” katanya.

One thought on “Saya Sedia Jadi Hamba DAP – Pak Samad

  • June 18, 2015 at 11:26 am
    Permalink

    alangkah indahnya insan apabila ia lebih rela menjafi hamba Allah dan pelayan Rasulnya.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.