PM Jamin Isu 1MDB Dapat Diselesaikan Sebelum Akhir Tahun

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan bahawa isu yang melanda syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini.

 

Beliau berkata demikian ketika memberi penjelasan kepada lebih 1,500 Ketua Penerangan UMNO Bahagian dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Majlis Penerangan Perdana di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

 

Menurut bekas Naib Ketua Bahagian UMNO Bagan Datoh, Hasan Hamzah, yang turut berada dalam majlis tertutup itu, Perdana Menteri meminta orang ramai supaya memberikan beliau masa untuk menyelesaikan isu yang berbangkit melibatkan 1MDB.

 

Kata Hasan, Najib memaklumkan bukan mudah untuk menguruskan entiti pelaburan dan perniagaan yang besar seperti 1MDB dan rakyat perlu memberikan beliau masa.

 

“Perdana Menteri meminta rakyat supaya bersabar dan memberikan beliau masa secukupnya supaya dapat menyelesaikan isu tersebut dalam beberapa bulan terdekat atau hingga akhir tahun ini.

 

“Saya yakin langkah yang diambil oleh 1MDB dan Kementerian Kewangan dapat menyelesaikan isu yang berbangkit,” katanya ketika ditemui di sini.

 

Tambah Hasan lagi, selepas mendengar penjelasan Najib, beliau mendapati isu melibatkan 1MDB ini juga telah diputarbelitkan pembangkang untuk tujuan politik mereka.

 

“Isu 1MDB dapat diselesaikan dan kita tahu penjelasan Perdana Menteri mengenai transaksi perniagaan 1MDB juga berlainan dengan apa yang dikatakan oleh pembangkang terutamanya di media sosial,” ujarnya yang juga merupakan Ketua Umum sebuah NGO, Gabungan Bertindak Perpaduan Melayu

 

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Irmohizam Ibrahim memberitahu, Perdana Menteri turut memberi penjelasan terperinci berkenaan perjalanan dan pengurusan 1MDB.

 

Penjelasan Najib yang juga Menteri Kewangan mengenai perjalanan 1MDB itu merangkumi kronologi, transaksi serta masa depan syarikat berkenaan, cerita Irmohizam.

 

Selain itu, katanya, kesemua isu termasuk tuduhan yang dibangkitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai 1MDB turut dijelaskan satu demi satu dengan terperinci.

 

“Kesemua mereka yang hadir berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dan akan menunggu (hasil) siasatan dan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara.

 

“Bagi saya, semua spekulasi yang timbul telahpun dijawab dan Perdana Menteri sendiri menunjukkan ke manakah wang tersebut dilaburkan,” tegasnya.

 

Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad turut memberitahu beliau berpuas hati dan menerima penjelasan yang diberikan Perdana Menteri.

 

Md Alwi berkata, Najib dilihat bercakap dari hatinya sendiri dan mendedahkan kesemuanya mengenai 1MDB kepada semua yang hadir.

 

“Rancangan masa depan 1MDB dipersembahkan secara jelas dan segala bentuk hutang dan aset syarikat berkenaan turut didedahkan.

 

“Kita menerimanya dengan baik kerana Perdana Menteri sudah menunjukkan segala bentuk perancangan dan juga penyelesaian ke atas isu yang dibangkitkan,” ujarnya.

 

Kata Md Alwi lagi, masalah yang berlaku pada hari ini ialah masyarakat tidak bersabar dan mahukan jawapan sepenuhnya serta-merta.

 

“Perdana Menteri sudah memberi penjelasan mengenai isu yang timbul dan PAC serta Ketua Audit Negara juga masih lagi menyiasat.

 

“Jadi pihak yang bersalah akan dihukum tidak kira siapa. Sekiranya Najib yang bersalah maka beliau turut akan dihukum,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.