Penanda Aras Dunia Diguna Tentu Had Umur Daki Gunung Kinabalu – TPM

Kuala Lumpur – Malaysia akan menggunakan penanda aras dunia berhubung cadangan supaya menetapkan had umur bagi mendaki Gunung Kinabalu susulan kejadian gempa bumi di Sabah pada 5 Jun lalu, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Singapura, hari ini.

 

Menurut beliau, ini adalah cadangan daripada kerajaan negeri Sabah dan pihak yang berkaitan penganjuran sukan pendakian gunung.

 

“Dan kalau ada penanda aras antarabangsa yang digunakan bagi paras umur yang sesuai kita boleh guna pakai. Tetapi apa-apa kita serahkan kepada mereka (yang berkenaan),” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan acara boling Masters Wanita pada Sukan SEA Ke-28 yang sedang berlangsung di republik berkenaan.

 

Muhyiddin turut ditemani isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

 

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura Datuk Husni Zai Yaacob dan isteri Datin Norshiha Hasbullah.

 

Mengenai mangsa warga asing termasuk dari Singapura yang terkorban di Gunung Kinabalu dalam kejadian gempa bumi itu, Muhyiddin berkata, segala bantuan sudah diberikan kepada mereka yang ditimpa kemalangan dan maut termasuk menjalankan ujian DNA bagi mengenal pasti identiti mayat.

 

“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terbabit (dengan pengurusan itu).

 

“Ini tugas kita sebagai negara yang bertanggungjawab, kita bantu mereka yang ditimpa kemalangan,” katanya.

 

Dalam kejadian gempa bumi pada magnitud 5.9 skala Richter di Sabah 5 Jun lalu, 18 orang terkorban termasuk 10 warga Singapura.

 

Warga Singapura yang terkorban ialah tujuh murid dan dua guru dari Sekolah Rendah Tanjong Katong serta seorang pemandu kembara.

 

Selepas tragedi itu terdapat pelbagai pihak yang mencadangkan supaya pendaki berusia bawah 15 tahun perlu dilarang daripada mendaki Gunung Kinabalu.

 

Menteri Belia dan Sukan Malaysia Khairy Jamaluddin sebelum ini dalam reaksinya dilaporkan berkata Malaysia akan melihat protokol keselamatan bagi mereka yang mendaki gunung itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.