Nazri Aziz Cabar, Kalau Berani ‘Hentam’ Depan-Depan

Kuala Lumpur – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz hari ini mencabar mana-mana individu yang mengkritiknya untuk tampil bersemuka.

Menurut Nazri mereka seharusnya berani tampil dan bukannya bersembunyi di sebalik media sosial

 

“Saya mungkin seorang menteri yang tidak mempunyai akaun Twitter dan Facebook (FB) (kerana) saya tidak percaya dengan Facebook, saya lebih percaya dengan bersemuka (untuk komunikasi).

 

“Sekiranya anda mahu menghentam (saya) secara lisan, hentam saya depan-depan. Saya boleh jawab dengan cara mudah,” katanya memetik laporan portal Malaysiakini.

 

Nazri berkata demikian selepas beliau dibidas dalam media sosial kerana mengingatkan Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa campurtangannya dalam politik boleh mengakibatkan beliau akan ‘dibelasah’ kerajaan.

 

 

Baca: Kalau Tak Nak Kena Belasah, Jangan Campur Hal Politik

 

Dalam wawancara eksklusif bersama portal tersebut semalam, Nazri turut dilaporkan berkata beliau tidak mengambil kisah terhadap pendapat negatif yang dilemparkan pengguna Internet terhadap dirinya.

 

“Saya tidak mengecam baginda. Saya berkomunikasi dengannya. Tengku Mahkota harus tahu pihak mana yang perlu dikecam dan pihak yang beliau akan bergantung untuk melindungi keluarganya.

 

“Tetapi untuk mengatakan saya tidak mengenang budi, tahap intelektual golongan ini rendah. Jika tahap intelektual mereka rendah, saya tidak boleh membantu,” katanya lagi.

 

Pengendali laman Facebook, Johor Southern Tigers petang semalam memuatnaik rakaman video pendek Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang membuat isyarat “marilah”.

 

 

Baca: TMJ Cabar Nazri Selepas Kenyataan ‘Belasah’

 

Melalui rakaman tersebut Tunku Ismail dilihat membuat isyarat memanggil selepas Nazri memberi amaran agar anakanda Sultan Johor itu tidak mencampuri isu politik negara.

 

Menurut Nazri tindakan Tunku Ismail itu boleh mengakibatkan beliau ‘dibelasah’.

 

Tunku Ismail pada 5 Jun lalu berkata, orang yang ingin menyembunyikan segala-galanya tentu sekali tidak akan muncul dipercayai merujuk kepada tindakan Perdana Menteri untuk tidak hadir dalam sesi dialog dengan NGO di Kuala Lumpur atas alasan keselamatan.

 

Kenyataan itu mengejutkan banyak pihak dan dikongsi meluas di Internet, terutamanya di media sosial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.