Masa Depan UMNO Bukan Ditangan Mahathir – Rahman Dahlan

Kuala Lumpur – Masa depan UMNO terletak di tangan rakyat dan bukannya pada seorang individu tertentu sahaja, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

 

Abdul Rahman menjelaskan, parti itu adalah lebih besar daripada seseorang individu dan kekuatannya turut membabitkan semua lapisan rakyat.

 

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya UMNO akan lenyap kerana prinsip dan objektif mereka yang berada dalam parti berkenaan berbeza daripada generasi sebelum ini.

 

“Kenyataan UMNO akan lenyap tidak begitu tepat dan saya tidak bersetuju dengan pendapat Tun M.

 

“Kekuatan parti bukan terletak pada seorang, dua orang atau tiga orang individu tetapi pada jutaan rakyat yang menyokong UMNO selama ini,” katanya.

 

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga menegaskan, isu ini pernah timbul ketika krisis perlembagaan UMNO pada zaman Dr Mahathir.

 

Beliau merujuk kepada insiden pendaftaran UMNO terbatal setelah parti itu diisytiharkan sebagai pertubuhan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988 yang kemudian disusuli penubuhan parti Semangat 46 oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada April tahun yang sama.

 

Namun walaupun dihimpit kebimbangan dengan semua perkembangan ketika itu, Dr Mahathir kekal menjadi perdana menteri sehinggalah beliau meletak jawatan.

 

Sebelum itu beliau juga mewujudkan semula UMNO melalui penubuhan UMNO (Baru) pada 13 Februari 1988, dan menurut Abdul Rahman, parti itu kini masih mempunyai kerusi paling banyak dalam Parlimen.

 

“Perkara yang penting adalah perlu mengukuhkan peringkat akar umbi bagi memastikan parti terus kuat,” katanya.

 

Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO yang wujud selama 69 tahun sejak 1946 akan lenyap tidak lama lagi kerana generasi yang ada dalam parti itu kini hanya berjuang untuk kepentingan peribadi mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.