Kepercayaan Tahyul Jadi Ancaman Bencana Alam?

Oleh: Zulhilmi Zainal

 

 

Dalam kejadian gempa bumi Gunung Kinabalu baru-baru ini, sebilangan pendaki dari luar negara telah memutuskan bahawa ada baiknya mengambil gambar sedang mereka berbogel di puncak tertinggi Asia Tenggara itu.

 

Dalam kejadian banjir Pantai Timur yang melanda tahun lalu, kelewatan melaksanakan undang-undang Hudud dikatakan menjadi punca kemarahan Allah.

 

Memang sudah menjadi tabii manusia melihat corak tertentu bagi memberi penjelasan ke atas segala yang berlaku terhadap mereka, terutamanya tragedi.

 

Tetapi seringkali, dalam kes bencana alam yang diluar kawalan manusia, kita menyalahkan diri sendiri. Bahawa apa yang telah kita lakukan telah menyebabkan kemarahan Tuhan.

 

Dalam kes bencana gempa bumi, pendaki yang tak tahu apa-apa diburu dan kini di dalam tahanan polis, dengan penduduk tempatan menggesa undang-undang dikenakan ke atas mereka.

 

Dalam kes banjir tahun lepas, selepas ianya surut, tetapi sebelum mangsa pulang ke rumah, undang-undang Hudud dibentangkan dan dilulus Sidang DUN Kelantan.

 

Pada masa yang sama, tak ramai yang memberi perhatian bagi menyelidik punca tragedi atau usaha mengelaknya berlaku lagi.

 

Tentu kita masih ingat matapelajaran Geografi di sekolah, dan belajar tentang garis sesar di kerak bumi, yang menghasilkan gegaran dan gempa apabila ia beralih, dan Malaysia (Timur dan Barat) tidak terletak di mana-mana garis sesar, walaupun kita hampir dengannya.

 

Salah satu garis sesar wujud di Semenanjung Malaysia, tidak jauh dari kepulauan Sumatra. Satu lagi di timur Sabah, berdekatan Filipina.

 

Tentu tiada kejadian besar menimpa Malaysia, tetapi kita tidak harus memandang ringan perkara ini. Alam semulajadi sering berubah tetapi kerana hidup kita tidak lama, kita memikirkan bahawa semuanya akan kekal seperti biasa.

 

Mungkin garis-garis sesar telah beralih, atau gegaran semakin kuat sehingga sampai ke negara kita. Sebab-sebabnya perlu dikaji oleh mereka yang punyai kelayakan dan kebijaksanaan; ahli-ahli Sains.

 

Sekiranya ancaman ini terbukti, langkah mengelakkan bencana perlu diambil, bagi melindungi Malaysia. Penduduk perlu dipindahkan ke lokasi selamat atau bangunan yang mampu menahan gegaran perlu dibina.

 

Tetapi sebaliknya kita hanya asyik menyalahkan tragedi yang berlaku sebagai berpunca dari badut-badut warga asing yang menyebabkan kemarahan Tuhan-Tuhan.

 

Dan selepas itu, berdebat bagaimana hendak menghukum mereka samada menggunakan undang-undang perlembagaan ataupun undang-undang orang asal. Kita seakan tidak sedar perkara yang perlu ditekankan.

 

Dalam kes banjir di Kelantan, ianya berpunca kesalahan manusia, tetapi bukan kerana ingkar dengan perintah Tuhan.

 

Tiada usaha signifikan dilakukan bagi memindahkan mangsa dengan segera, tiada pelaburan dibuat ke atas infrastruktur bagi membolehkan air sungai mengalir sambil kerajaan pusat dan kerajaan negeri menyalahkan sesama sendiri. Walaupun fenomena bajir berlaku berulang kali.

 

Ia tidak hanya berlaku di negara ini. Di Amerika Syarikat sekalipun, yang dikenali negara maju, puting beliung dan hurikan dianggap golongan yang setia dengan Bible sebagai tragedi yang disebabkan golongan homoseksual, orang kulit hitam, Muslim dan sebagainya.

 

Kepercayaan terhadap kuasa yang tidak dapat difahami sememangnya menarik dan menyelesakan, tetapi tidak boleh menyebabkan kita tak sedar hakikat bahawa manusia di zaman moden ini, perlu mengurangkan, atau menghentikan bencana alam yang mengancam kehidupan kita semua.

 

Apabila tragedi seterusnya melanda tanpa disedari, kita mungkin berdepan banyak kematian, sehingga tiada lagi pendosa yang mampu dipersalahkan. Mudah-mudahan itu tidak berlaku.

 

 

 

 

 

Nota:

 

* Artikel penulis dipetik dari portal Ant Daily.

 

** Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan SuaraTV.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.