Kapal Tangki Bawa Petrol Hilang Di Perairan Johor

JOHOR BAHRU – Kapal tangki yang berdaftar di Malaysia, MT Orkim Harmony yang membawa muatan kira-kira 6,000 metrik tan minyak petrol RON 95, dilaporkan hilang.

 

Kapal itu dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan dilaporkan terputus hubungan pada jam 8.50 malam Khamis lalu.

 

Pengarah Operasi Wilayah Selatan APMM, Laksamana Pertama Maritim, Ibrahim Mohamed, berkata laporan kehilangan kapal itu dibuat syarikat kapal itu, Orkim Ship Management Sdn Bhd, pada jam 6 pagi Jumaat.

 

“Lokasi akhir kapal dilaporkan terputus hubungan pada kedudukan 30 batu nautika timur Tanjung Sedili.

 

“Kapal itu membawa 22 anak kapal iaitu 16 warga tempatan, lima warga Indonesia dan seorang warga Myanmar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Ibrahim berkata, operasi mencari dan menyelamat yang dilancarkan setakat ini tidak dapat mengesan kapal berkenaan.

 

Sebaik laporan diterima, APMM Wilayah Maritim Selatan melancarkan operasi pencarian bagi mengesan kapal itu menggunakan tiga kapal dan bot iaitu KM Mulai, KM Niah dan Bot Pengawal 32, selain helikopter.

 

Selain itu katanya, operasi pencarian turut dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menugaskan dua kapal iaitu KD Laksamana Tan Pusmah dan KD Ganyang.

 

“Sektor pencarian sejak kehilangan dilaporkan adalah seluas 20,000 kilometer persegi. Pencarian juga menjangkau sempadan perairan Malaysia dan negara jiran.

 

“APMM juga sudah memanjangkan maklumat ini kepada pihak berkuasa Singapura iaitu Singapore Police Coast Guard (SPCG) dan juga pihak berkuasa Indonesia iaitu Badan SAR Nasional (BASARNAS) dan juga Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA RI) bagi membantu mengesan kapal ini.

 

“Maklumat kehilangan kapal juga sudah dimaklumkan menerusi Navtext kepada kapal lain,” katanya.

 

Ibrahim berkata, hingga kini belum ada maklumat penemuan MT Orkim Harmony dan usaha mengesannya masih diteruskan dengan pemantauan juga dilaksanakan oleh aset APMM di perairan Sabah serta Sarawak.

 

Sementara itu di Kuala Lumpur Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, TLDM menghantar tiga kapal bagi membantu APMM dalam usaha mencari kapal tangki itu.

 

Beliau berkata, tiga kapal itu ialah KD Terengganu, KD Pendekar dan KD Ganyang.

 

“Kira-kira 150 anggota TLDM terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat. Setakat ini kami belum menerima apa-apa maklumat daripada kru.

 

“Kami sedang membantu APMM dalam operasi ini,” katanya kepada BERNAMA ketika dihubungi hari ini. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.