Jangan Letak Jawatan Dulu – Ketua Dewan Ulama PAS

Kuala Lumpur – Datuk Dr Mahfodz Mohamed meminta ahli-ahli PAS di Selangor dan Pulau Pinang agar tidak meletakkan jawatan terlebih dahulu sehingga Majlis Syura Ulama membuat keputusan walaupun muktamar lalu menerima usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

 

Ketua Dewan Ulama itu berkata, Majlis Syura Ulama akan membuat keputusan berhubung kerjasama politik antara PAS dan DAP yang dijangka diadakan dalam tempoh sebulan.

 

“Kita mahu perbaiki hubungan kerjasama ini. Sebab itu kita juga minta negeri-negeri lain terutamanya di Pulau Pinang dan Selangor supaya jangan letak jawatan dulu sehingga keputusan dibuat,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

 

Beliau yang juga pesuruhjaya PAS Johor berkata, pada ketika ini kepimpinan parti di Johor masih meneruskan kerjasama bersama DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) seperti biasa sehingga keputusan mengenai perkara itu diputuskan.

 

“Mengenai hubungan dengan DAP kita tunggu keputusan Majlis Syura Ulama,” katanya seperti dilaporkan akhbar berbahasa Melayu itu.

 

Menurut Mahfodz, beliau turut berharap untuk mengadakan pertemuan bersama kepimpinan DAP Johor bagi memulihkan hubungan dan kerjasama politik di antara kedua-dua parti.

 

“Situasi di Johor tidak sama dengan negeri lain seperti di Selangor dan Pulau Pinang kerana di sana kerajaan (PR) sudah dibentuk tetapi di Johor hanya parti sahaja. Harap mereka sudi terima pelawaan kita,” katanya kepada akhbar itu.

 

Mahfodz berkata, PAS dan DAP saling memerlukan bagi mengukuhkan kedudukan dan kemenangan kedua-dua parti itu di kerusi masing-masing adalah disebabkan kerjasama berkumpulan dalam PR.

 

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengatakan kerajaan negeri Pulau Pinang menyifatkan keputusan muktamar PAS yang mahu memutuskan hubungan dengan partinya adalah muktamad dan wakil kerajaan negeri daripada parti Islam itu perlu mengundurkan diri.

 

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, PAS harus jelas dan tidak perlu berdolak-dalik mendakwa usul berkenaan masih di peringkat perbincangan kerana muktamar sudah pun meluluskan usul itu tanpa perbahasan.

 

“Adalah tidak logik kepimpinan baharu PAS masih cuba berbelit-belit yang mereka masih membincangkan usul memutuskan hubungan dengan DAP, bila usul ini ‘diterima’ tanpa bahas dan ‘bukan dirujuk’ oleh muktamar PAS.

 

“Perlu diingat yang kerajaan negeri Pulau Pinang masih stabil dan tidak terjejas tanpa penyertaan atau penglibatan wakil PAS,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.