Apa Keperluan Parti Baharu? – PAS

Kuala Lumpur – PAS hari ini mempersoal keperluan badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang dikatakan lahir daripada rasa tidak puas hati kalangan kumpulan serpihan parti berkenaan mahu menubuhkan sebuah parti baharu.

 

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS yang baru dipilih berkata, perlu ada asas yang kukuh bagi penubuhan parti baharu dan bukan sekadar berdasarkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan muktamar agung parti itu baru-baru ini.

 

“Parti tidak seharusnya muncul sebab tidak puas hati… Maksudnya keputusan itu (penubuhan parti baru) lahir daripada rasa tidak puas hati terhadap keputusan muktamar,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post awal pagi tadi.

 

Bagaimanapun, kata Tuan Ibrahim, oleh kerana sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini membenarkannya, terpulanglah kepada mana-mana individu atau kumpulan untuk berbuat demikian.

 

“Dalam konteks demokrasi terpulanglah, jika memenuhi syarat.

 

“Bagi kami (PAS), apa keperluan parti baharu?

 

“Di Malaysia saya fikir tidak ada keperluan untuk tubuhkan parti baharu,” tegas beliau.

 

Mengenai dakwaan Pengerusi PasMa, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi bahawa ada beberapa pemimpin PAS yang memberi reaksi positif untuk menyertai parti baru itu,

 

Tuan Ibrahim berpendapat perkara itu tidak seharusnya berlaku jika mereka memahami perjuangan sebenar PAS.

 

“Sebagai ahli parti mereka patut akur dan bersama-sama memperkasa parti kerana mereka juga terikat dengan dasar dan polisi bersama.

 

“Keputusan muktamar patut didokong oleh semua ahli kerana ia dipilih oleh perwakilan seluruh negara,” katanya.

 

Turut bercakap kepada The Rakyat Post berhubung perkembangan sama ialah Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi yang berkata penubuhan parti baharu yang ditunjangi PasMA itu tidak akan memberi kesan kepada PAS.

 

Katanya, hasrat PasMa untuk menubuhkan parti baharu tidak boleh dihalang sesiapa, namun PAS akan meneruskan perjuangan menghadapi cabaran akan datang.

 

“Jika Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) luluskan, maka luluslah penubuhan parti itu”, katanya Nasrudin ketika dihubungi.

 

Bagaimanapun beliau percaya rakan-rakannya dalam PAS tidak akan keluar daripada parti itu semata-mata kerana tidak puas hati dengan keputusan muktamar baru-baru ini.

 

“Namun saya percaya, mereka yang kental disiplin dan kukuh kefahamannya mengenai perjuangan Islam yang didokong PAS sebagai wadah perjuangan Islam di Malaysia.

 

“Adapun rasa tidak puas hati dan sebagainya adalah soal dalaman yang boleh diurus dan diatasi…ianya tidak sampai mengambil sikap keluar PAS,” katanya penuh yakin.

 

Semalam, Phahrolrazi mengumumkan, beliau dan PasMa akan merintis pembentukan sebuah parti baru bagi memastikan Pakatan Rakyat (PR) terus kukuh dan kekal relevan.

 

Katanya, parti baru itu akan terdiri daripada gabungan beberapa NGO mesra PR.

 

Jawatankuasa penaja parti baru itu akan mengadakan mesyuarat, selepas Hari Raya Aidilfitri pada pertengahan bulan depan, dan nama parti berkenaan juga akan ditentukan selepas hari raya nanti.

 

“Satu dua orang yang tewas dalam pemilihan PAS baru-baru ini telah hubungi saya dan beri tanda positif,” katanya pada sidang media selepas selesai Majlis Wacana PasMa Nasional bertema ‘Ke Arah Mengukuhkan Pakatan Rakyat’, di Shah Alam, Sabtu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.