MAIS Tolak Keputusan Peguam Negara Tutup Kes Rampasan Bible

Shah Alam – Majlis Agama Islam Selangor (Mais) semalam memutuskan tidak bersetuju dengan keputusan Peguam Negara untuk tidak mendakwa Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) dalam isu rampasan 320 Bible berbahasa Melayu dan Iban di Petaling Jaya, Januari lalu.

Menurut pengerusinya Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, mesyuarat khas Mais semalam menganggap masih ada ruang di dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 bagi membolehkan pendakwaan dilakukan terhadap PBM.

“Keputusan Peguam Negara untuk tidak mendakwa mereka yang terlibat akan menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam,” kata Mais dalam satu kenyataan hari ini.

Rabu lalu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tersalah langkah dalam rampasan kira-kira 300 kitab Bible berbahasa Melayu dan Iban di pejabat PBM, dan mengarahkan mereka kes tersebut ditutup.

“Keterangan menunjukkan buku-buku yang dirampas adalah Bible dalam versi Bahasa Malaysia dan Alkitab Berita Baik adalah himpunan buku Taurat, Zabur dan Injil yang merupakan buku asas penganut agama Kristian,” kata Gani.

“Jabatan Peguam Negara juga turut mengambil kira keterangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa buku-buku tersebut tidak dikawal oleh KDN dan tidak melibatkan isu keselamatan negara.”

Sambil menyatakan ia tidak setuju dengan arahan Exco Selangor supaya Jais memulangkan Bible tersebut, Mais berkata alasan dikemukakan Peguam Negara boleh mengelirukan umat Islam.

“Alasan yang diberikan oleh pihak Peguam Negara untuk tidak menuduh pihak yang terlibat boleh mengelirukan aqidah di kalangan umat Islan, kerana pihak Peguam Negara berpandangan, Alkitab adalah himpunan buku Taurat, Zabur dan Injil manakala Berita Baik merujuk kepada Injil yang terkandung di dalamnya,” kata Adzib.

Menurutnya lagi, Timbalan Pendakwa Raya Selangor perlu merujuk kepada mahkamah bagi mendapatkan perintah pelupusan barang rampasan, seperti diperuntukkan oleh Seksyen 407A Kanun Acara Jenayah.

Semalam, Exco Selangor Sallehin Mukhyi yang bertanggungjawab hal ehwal agama, berkata kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan Gani bagi mendapat penjelasan lanjut mengenai pemulangan Bible ke PBM.

“Apabila kita mula mengambilnya dariada PBM, kita melalui proses undang-undang sehingga selesai keputusan daripada Peguam Negara. Proses undang-undang bermakna macam mana cara kita ambil, begitu cara kita pulangkan,” katanya.

Pengarah Strategi DAP, Dr Ong Kian Min pula menyeru Bible yang dirampas itu dipulangkan segera.

“Langkah terbaik adalah memulangkan Bible berkenaan dalam keadaan berhemah bagi membina kepercayaan di antara kerajaan negeri, Jais dan PBM,” kata Ahli Parlimen Serdang itu hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!