KUALA LUMPUR – Pas Terengganu terbuka jika pihak berkuasa ingin meneruskan siasatan berhubung kesilapan memaparkan imej Jalur Gemilang.
Penolong Setiausaha Pas Terengganu Hanafiah Mat berkata, Pas juga tidak boleh menghalang pihak masih tidak berpuas hati yang berterusan mendesak siasatan dijalankan walaupun permohonan maaf sudah dibuat.
“Kami sudah mengaku kesilapan, pihak urus setia program juga sudah minta maaf dan segera membetulkan kesilapan itu.
“Apa lagi kami boleh katakan…itu sahaja kami boleh jelaskan,” memetik laporan FMT pada Rabu.
Kelmarin, Pas Terengganu dilaporkan membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kontroversi logo himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2025 yang memaparkan bintang Jalur Gemilang tanpa jumlah bucu lengkap.
Sekretariat program memaklumkan, pihaknya menarik semula penggunaan logo itu dan mengeluarkan versi baharu.
Semalam, pemimpin parti kerajaan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Pas Terengganu susulan kontroversi itu.
Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong berkata walaupun permohonan maaf dibuat, ia tidak seharusnya menjadi penyelesaian setiap kali simbol negara dihina mahupun disalah guna.
Choo Seong mengingatkan tentang respons Pas terhadap kontroversi berkait penerbitan Jalur Gemilang silap sebelum ini dan menegaskan tindakan harus diambil ‘tanpa pilih kasih’.
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh, pula meminta Ahli Parlimen menggubal undang-undang mengenai perkara itu supaya tindakan lebih keras boleh digunakan.
Sementara itu, Hanafiah yang juga Adun Cukai berkata beliau akan membawa isu tersebut dalam mesyuarat mingguan Pas Terengganu termasuk membincangkan setiap pandangan dibangkitkan pelbagai pihak susulan kontroversi berkenaan.
Sebelum ini, selain Kementerian Pendidikan dan Sin Chew Daily, akhbar Kwong Wah Yit Poh dan vendor pameran dari Singapura turut dilaporkan memaparkan imej Jalur Gemilang silap, mendorong pelbagai pihak termasuk Pas menuntut tindakan tegas diambil.