Ketua Pesuruhjaya SPRM Letak Jawatan

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad meletak jawatan pagi ini.

Sumber dalaman SPRM ketika dihubungi, mengesahkan beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa, pagi tadi.

Sumber itu berkata, Dzulkifli bertemu dengan KSN sekitar jam 8 pagi tadi untuk menyerahkan surat itu.

Sumber berkenaan berkata, Dzulkifli memberi notis sebulan peletakan jawatan.

Ditanya sama ada Dzulkifli akan meninggalkan pejabatnya hari ini, beliau memberitahu kemungkinan tidak.

Dzulkifli, 50, dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos 2016, menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang ditempatkan sebagai Pakar Perunding Integriti, Fakulti Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Semalam, BH melaporkan Abu Kassim antara nama yang disebut untuk kembali menerajui suruhanjaya itu di bawah pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Difahamkan, beliau dijangka dibawa kembali ke agensi penguatkuasaan itu memandang beliau masih seorang pegawai SPRM dan menjadi antara individu pertama yang mengetuai siasatan skandal 1MDB dan SRC International, pada 2016.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.