Umno Tidak Damba Tahaluf Siyasi

KUALA TERENGGANU – Umno tidak mendambakan kerjasama politik atau tahaluf siyasi bersama Pas, cukup sekadar tolong-menolong dan memberi pencerahan berhubung isu yang bercanggah melibatkan Islam dan Melayu.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, apa yang perlu dilakukan ahli Umno ialah menghormati setiap keputusan Pas dan mengiktiraf parti itu dalam senario politik di negara ini.

“Kita harus iktiraf keberadaan Pas dalam senario politik baharu, kita menghormati keputusan Majlis Syura Ulama Pas, malah kita hormati segala resolusi dan usul yang dibentangkan mereka. Kita hormati pendirian Pas, kita tak mahu campur soal dalaman parti mereka.

“Kita tidak mendambakan tahalluf siyasi, cukup sekadar bersama-sama mereka (Pas) untuk tabayyun dan ta’awun iaitu tolong menolong dalam melakukan pemahaman serta pencerahan mengenai isu yang bercanggah melibatkan isu Islam dan orang Melayu,” katanya ketika berucap pada Program Himpunan Mesra Rakyat dan Pelancaran Jentera Jalinan Rakyat Parlimen Marang, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Timbalan Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Jailani Johari; Ketua Umno Bahagian Marang, A. Latiff Awang dan Ketua Wanita Umno Marang, Toh Puan Zaiton Mat Amin.

Ahmad Zahid berkata, Umno akan bersama-sama (Pas) untuk memperjuangkan perundangan Islam dan menjadikan ia sebagai prinsip dan pendirian parti.

“Jangan ada mana-mana pihak sama ada dalam atau luar Umno yang mempertikaikan kedudukan Raja-Raja, hak istimewa orang Melayu dan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

“Apa yg termaktub dalam perlembagaan itu bukan sahaja sebagai kontrak sosial tetapi telah termaktub dalam perundangan tertinggi kita,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.