Musang King Bakal Dieksport Ke China

BEIJING – Malaysia sedang berusaha untuk mengeksport buah durian terbaik, Musang King ke China kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, buah-buahan yang ingin diimport ke China itu mesti mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak republik itu.

“Mereka gelarnya rawatan penyejukan bawah 18 darjah.

“Sebaik sahaja kita penuhi syarat dan peraturan, selepas itu kita perlu cari pelabuhan atau destinasi untuk durian,” katanya lapor Kosmo.

Ahmad Shabery berkata beliau dimaklumkan bahawa sebiji durian berharga kira-kira RM800 di Hong Kong.

Sehubungan itu, beliau percaya durian Musang King akan dapat dijual dengan mudah di China pada harga kira-kira RM200 hingga RM300 sekilogram.

“Ini amat baik bagi petani kita,” katanya.

Katanya buat masa ini China mengimport durian dari negara jiran Malaysia. Semalam di Beijing bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini dalam rangka lawatan kerja lima hari di China, Ahmad Shabery telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan pihak berkuasa China bagi pengeksportan nanas buat kali pertama ke republik itu.

Selepas kejayaan nanas menembusi pasaran China, Ahmad Shabery berkata usaha seterusnya ialah untuk mengeksport buah nangka.

Antara buah-buahan Malaysia yang berjaya menembusi pasaran China sebelum ini ialah manggis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!