PAN Tetap Tanding PRK, Tidak Pedulikan Amaran PAS

PASIR MAS – Perbalahan parti-parti pembangkang dalam soal siapa sepatutnya bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar semakin ketara apabila parti serpihan Pas, PAN bercadang meletakkan calonnya bertanding di kedua-dua kerusi tersebut.

 

Tindakan PAN itu dijangka mencetuskan perbalahan dengan Pas yang awal-awal lagi sudah menyatakan kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan ditandingi oleh mereka.

 

Bagaimanapun Presiden PAN, Mohamad Sabu berkata, pendirian rasmi parti itu hanya akan diputuskan selepas perbincangan dengan PKR dan DAP dalam mesyuarat Majlis Presiden pakatan pembangkang Ahad ini.

 

“Kita akan bawa usul ini (meletakkan calon) dalam mesyuarat nanti. Kita akan bincang dan muktamadkan keputusan siapakah dalam kalangan kami yang akan bertanding dalam PRK nanti.

 

“Kami sedia berdepan dengan mana-mana parti kecuali PKR dan DAP. Kita juga akan meminta supaya PAN diizinkan bertanding,” katanya kepada pemberita selepas ceramah PAN di Kampung Bendang Pauh di sini malam tadi.

 

Semalam, Pas mengingatkan DAP, PKR dan PAN supaya tidak meletakkan calon mereka dalam PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar jika sekadar untuk menguji sokongan.

 

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kedua-dua kerusi tersebut merupakan kerusi tradisi Pas dan mereka akan mempertahankan dua kerusi Parlimen tersebut.

 

Pada masa sama, Tuan Ibrahim turut menegaskan pertembungan antara blok pembangkang dalam kedua-dua PRK tersebut hanya akan memberi kele­bihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk memenangi kerusi Parlimen.

 

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pendirian Pas yang tidak akan mengadakan sebarang perbincangan dengan PAN berhubung PRK tersebut, Mohamad berkata, pihaknya juga mempunyai pendirian yang sama. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.