Zizan Terpikat Suara Kartun Jelita

Pelakon Zizan Nin, 42, mengakui naluri kebapaan dalam dirinya semakin dirasai meskipun dia masih belum bergelar bapa dan dikurniakan rezeki cahaya mata.

 

Lebih-lebih lagi sejak dia berlakon dengan tiga pelakon cilik yang lincah dan bijak iaitu Mia Sara Nasuha, Rykarl Iskandar dan pelakon cilik baru, Jelita Murni Kako dalam musim terbaharu drama Strawberi.

 

Memengang watak sebagai Paksu Hairi dalam drama tersebut, Zizan menyatakan Jelita agak pemalu berbanding Mia dan Rykarl yang sudah biasa dengan suasana di set penggambaran.

 

Begitupun, dia mengakui cukup terpukau dengan kecomelan dan keunikan suara Jelita.

 

“Saya memang suka budak-budak. Dengan Mia dan Rykarl, sejak musim pertama kami sudah mesra malah saya nampak perkembangan mereka.

 

“Mereka semakin membesar dan dari segi lakonan mereka sudah boleh dengar cakap dan menerima arahan dengan baik. Mereka juga sangat aktif dan kadang-kadang nakal dan set jadi meriah dengan keletah mereka.

 

“Jelita pula walaupun dia masih baru tetapi dia memang sangat comel dan bayangkan suaranya macam kartun. Saya terpikat dengan kecomelan dan suara dia.

 

Bagaimanapun, Zizan menyatakan dia banyak menggunakan cara psikologi untuk mendekati serta memahami jiwa perasaan ketiga mereka.

 

“Drama ini ternyata menuntut kesabaran saya yang banyak. Ada babak yang memang perlu diulang banyak kali kerana mereka pelakon kanak-kanak bukan macam pelakon dewasa.

 

“Namun, tidaklah sampai membuatkan saya hilang mood berlakon. Saya banyak gunakan pengetahuan psikologi untuk faham dan selami jiwa mereka,” katanya yang sudah hampir lima tahun mendirikan rumah tangga dengan pembaca berita dan personaliti TV, Fazilah Hani Harun.

 

Sementara itu, drama komedi bersiri 13 episod terbitan Global Station Sdn Bhd ini turut dibintangi Nelydia Senrose sebagai Aunty Lisa dan kemunculan watak baharu iaitu Uqasha Senrose sebagai Aunty Emma.

 

Selain penampilan istimewa Fattah Amin sebagai Azam, Elfira Loy sebagai Anna, Sharifah Sakinah sebagai Siti, Amar Baharin serta ramai lagi.

 

Diarahkan Nizam Zakaria, Strawberi & Karipap musim ini mengisahkan konflik antara Hairi dan Lisa dan perancangan perkahwinan mereka yang dirancang sepenuhnya oleh Nini (Mia Sara) dan Haikal (Rykarl).

 

Kemunculan Aunty Emma (Uqasha) dan anaknya Jelita menyerikan lagi penceritaan Strawberi & Karipap yang akan bersiran pada setiap Ahad jam 11 pagi di saluran Astro Ceria (611) dan Maya HD (135)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.