Pemandu Lori Maut Setelah Ditembak Dua Das

KLANG 13 Mei – Seorang pemandu lori maut setelah ditembak dua das manakala dua rakannya cedera dalam pergaduhan melibatkan lebih 10 individu di Jalan Dato Abdul Hamid 17, Taman Sentosa di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 pagi itu, mangsa berasal dari Negeri Sembilan, meninggal dunia setelah cedera parah terkena tembakan di dada.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarulzaman Mamat berkata, mangsa berada di lokasi kejadian kerana dipercayai untuk menghadiri majlis pengebumian bapa saudaranya.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di lokasi kejadian manakala yang lain melarikan diri. Turut dirampas dua bilah parang, sepucuk pistol jenis Smith & Wesson berserta tiga butir peluru.

“Selain itu, kita juga merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5 untuk siasatan,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kamarulzaman membe­ritahu, suspek yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau dan pernah dipenjara selama dua tahun di Penjara Simpang Renggam di bawah Ordinan Darurat 1969.

“Dua mangsa yang ce­dera masing-masing berusia 30 dan 45 tahun telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini untuk rawatan lanjut,” ujar beliau.

Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan pihaknya memburu suspek yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.