MB Selangor Arah Peguam Serah Notis Saman Pada Manikavasagam

SHAH ALAM, 13 MEI: Satu notis tuntutan saman akan dihantar kepada calon Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kuala Selangor, S Manikavasagam ekoran kenyataannya yang mendakwa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengamalkan politik wang bagi meraih sokongan pengundi pada pemilihan parti itu.

Abdul Khalid dalam satu kenyataan ringkas di Facebook berkata, beliau sudah mengarahkan peguamnnya untuk berbuat demikian kerana menganggap dakwaan Manikavasagam adalah melampau dan tidak berasas.

“Saya sudah arahkan peguam untuk menghantar notis tuntutan saman kepada Manikavasagam kerana menuduh saya melakukan rasuah membeli pengundi,” katanya.

Sebelum ini, Manikavasagam yang juga Penyelaras Pusat Khidmat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati mendedahkan terdapat individu yang ‘sanggup’ membayar RM50 untuk meraih sokongan terhadap Abdul Khalid.

Beliau mendakwa akan mendedahkan bukti rakaman dan gambar individu yang terbabit dalam politik wang berkenaan dalam masa terdekat dan meminta Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengambil tindakan sewajarnya.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan sekeras-kerasnya Abdul Khalid yang juga penyandang Ketua PKR Cabang Kuala Selangor yang meyifatkan ia tidak berasas sama sekali dan meminta pihak yang tidak berpuas hati berkenaan pemilihan melaporkan kepada pihak bertanggungjawab.

“Saya memang tidak beri duit kepada orang supaya mengundi saya kerana saya adalah antara individu yang tidak mengamalkan politik wang sepanjang menerajui Selangor sebagai menteri besar,” katanya.

Abdul Khalid berkata, tujuan utama beliau ingin mempertahankan jawatan ketua cabang adalah untuk terus menambahbaik khidmat kepada rakyat di kawasan itu selain membalas budi terhadap parti.

“Saya akui ramai yang tidak suka saya sebab itu saya mahu bertanding mengekalkan kerusi ini supaya mempunyai peluang untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada anggota di cabang Kuala Selangor,” katanya.

Walaupun mengakui dirinya tidak disenangi sesetengah ahli parti kerana kesibukannya menguruskan Selangor sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua cabang.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.