Ir Rosli Masih Bersama BN

KEMAMAN – Adun Kemasik, Ir Rosli Othman sekeras-kerasnya menafikan spekulasi bahawa beliau akan turut sama mengikut jejak langkah dua lagi wakil rakyat Umno yang bertindak keluar parti itu dan mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas.

Rosli berkata, beliau masih lagi setia dan berdiri teguh bersama Umno dan BN sekali gus menyangkal desas-desus yang dikeluarkan media cetak dan elektronik serta yang tersebar dalam media sosial termasuk dalam aplikasi WhatsApp.

“Saya masih lagi bersama Umno dan BN, cuma pada upacara angkat sumpah pelantikan Menteri Besar yang baharu (malam kelmarin), saya tak sempat hadirkan diri kerana berada di Kuala Lumpur atas urusan kerja dan ada kekangan masa.

“Semalam (12 Mei), saya mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penimbang di Chukai sebelum berangkat ke Kuala Lumpur dan semasa di ibu negara saya telah terima satu SMS daripada pihak istana untuk menghadiri upacara angkat sumpah pelantikan MB baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas yang diadakan di kediamannya di Kampung Gong Chengal, Kemasik, di sini, petang semalam.

Sehubungan itu, Rosli merayu agar bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengkaji dan memikirkan semula keputusan yang telah dibuat seterusnya kembali menyertai Umno.

“Ahmad memberikan perkhidmatan yang cemerlang sepanjang mengemudi jentera pentadbiran kerajaan negeri dan parti. Beliau merupakan seorang pemimpin yang hebat, jadi diharap beliau dapat memikirkan semula keputusan itu,” katanya.

Tegasnya, beliau percaya dalam kemelut meruncing itu masih terdapat ruang untuk perbincangan agar keadaan kembali pulih.

“Saya percaya pimpinan parti akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan BN terus memimpin Terengganu,” katanya.

Mengulas lanjut, Rosli meminta semua penyokong Umno dan BN dalam Dun Kemasik, Bahagian Kemaman dan seluruh Terengganu agar bertenang.

“Dalam situasi begini kita seharusnya bersatu dan bersedia bersama pimpinan negeri yang baharu dan saya juga berharap agar pucuk pimpinan turut mengambil kira pandangan akar umbi demi kepentingan dan kekuatan parti pada masa depan.

“Saya juga ingin rakamkan jutaan terima kasih kepada semua penyokong BN yang berdiri teguh bersama saya. Saya cukup yakin dan percaya kita akan keluar daripada situasi ini seterusnya dapat menggarap kejayaan yang lebih baik pada masa akan datang sekali gus mematangkan lagi pemimpin atasan,” katanya.

Katanya, seluruh warga Umno dan BN Dun Kemasik memberi sokongan padu serta kerjasama kepada pimpinan Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman selaku menteri besar yang baharu.

“Saya secara peribadi turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Ahmad Razif atas pelantikan sebagai menteri besar baharu.

“Semoga beliau dapat memberikan perkhidmatan dengan cemerlang dalam keadaan suasana yang penuh berliku sekarang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.