Ibu Tunggal, 3 Anak OKU Hidup Daif

HUTAN MELINTANG – Seorang ibu tunggal bersama tiga anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) berusia antara 15 hingga 11 tahun, mengimpikan kediaman selesa untuk meneruskan kehidupan.

M Thavanai, 45, berkata, mereka empat beranak terpaksa tinggal dalam rumah usang yang dibina mendiang suaminya empat tahun lalu atas tanah milik abang ipar.

“Rumah ini ada banyak masalah antaranya siling bocor, dinding reput dimakan anai-anak dan tiada bekalan elektrik.

“Malah, setiap kali hujan, kami akan basah dan keadaan ini menyukarkan kehidupan kami,” katanya.

Menurutnya yang kehilangan suami sejak tahun lalu akibat paru-paru berair, terpaksa membesarkan anak-anaknya dengan bekerja mencuci pinggan di sebuah kedai makan.

“Dengan upah RM10 sehari, saya tidak mampu membaiki kerosakan di rumah ini yang semakin hari bertambah teruk.

“Wang upah itu juga saya gunakan untuk menyara tiga anak OKU yang masih bersekolah,” katanya ketika dikunjungi Pembantu Khas Adun Hutan Melintang, Khairul Ehsan Sukarmon.

Difahamkan, Thavani ada mengemukakan permohonan bantuan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD), baru-baru ini dan masih menunggu jawapan daripada jabatan berkenaan.

Dalam pada itu, menurutnya, disebabkan keadaan struktur kediamannya yang tidak sempurna dan usang itu, dia pernah dipatuk ular yang menyusup masuk, Februari lalu.

“Disebabkan itu, saya dimasukkan ke hospital dua hari untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Khairul Ehsan berkata, pihaknya akan menghantar surat permohonan kepada pejabat daerah, menteri besar dan Yayasan Bina Upaya (YBU) untuk tindakan selanjutnya.

“Saya juga akan meminta PKMD untuk mempercepatkan proses permohonan bantuan kepada ibu tunggal ini dengan kadar segera,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.