Bom Lama Dalam Rumah Nasib Baik Tidak Meletup

GEORGETOWN – Seorang lelaki tidak menyangka selama ini dia berdepan maut apabila menyimpan sebutir bom di dalam rumahnya di Taman Lip Sin di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, lelaki berusia 31 tahun terbabit baru menyedari objek yang sebelum ini disangka bekas abu rokok rupanya sebutir bom dan terus menghubungi polis kerana curiga melihat bentuknya.

Difahamkan, bom berkenaan diambil lelaki berkenaan di rumah datuknya di Lenggong, Perak dua tahun lalu kerana tertarik dengan bentuk objek itu.

Menurut sumber, lelaki berkenaan membawa bom terbabit pulang untuk dijadikan sebagai bekas abu rokok namun dia terlupa dan hanya membiarkannya berada dalam bilik di rumahnya selama dua tahun.

“Bagaimanapun, hari ini (semalam) dia menemui kembali bom terbabit ketika sedang mengemas rumah dan selepas melihat bentuk objek itu, lelaki berkenaan mula curiga dan menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan polis dari Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bergegas ke rumah lelaki berkenaan.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan mendapati bom terbabit adalah jenis bom mortar.

“Hasil daripada keterangan yang diberikan, lelaki terbabit mendakwa dia mengambil bom berkenaan dua tahun lalu yang ditemui di beranda rumah datuknya.

“Dia membawanya pulang kerana mahu menjadikan bekas abu rokok dan lelaki terbabit juga mengesyaki yang bom itu sebenarnya adalah milik bapa saudaranya yang juga seorang pesara tentera,” katanya.

Mior Faridalathrash berkata, bom berkenaan kemudian dibawa pasukan UPB dan akan dimusnahkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.