WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, ‘bercakap besar’ di Pejabat Oval, berkongsi cerita bagaimana rakan-rakan bilionairnya meraih pulangan besar di pasaran saham susulan manipulasi tarif.
Mereka meraih keuntungan ‘sekelip mata’ susulan tindakan Trump secara tiba-tiba menggantung selama 90 hari sebahagian besar pelaksanaan tarif perdagangannya di seluruh dunia.
Pengumuman Trump pada Rabu lalu itu membuatkan pasaran saham bergolak selepas beliau membatalkan pelaksanaan tarif.
“Ini masa terbaik membeli!!!!,” katanya dalam satu catatan di platform, Truth Social sejurus selepas pasaran saham dibuka.
Trump mengumumkan penggantungan tarif selama 90 hari hanya selepas empat jam tarif timbal balas dikuatkuasakan.
Saham melonjak lebih tujuh peratus dalam beberapa minit selepas pengumumannya dan akhirnya ditutup lebih sembilan peratus lebih tinggi pada hari sama.
Di Pejabat Oval, Rumah Putih pada hari berkenaan, Trump menunjukkan dua tetamu bilionair yang hadir bersamanya.
“Dia untung AS$2.5 juta (RM11.07 juta) dan dia pula AS$900 juta (RM 3.98 bilion). Ia sangat baik!,” kata Trump sambil menunjuk ke arah pelabur, kewangan Charles Schwab dan pemilik pasukan NASCAR, Roger Penske.
Mereka berdua antara tetamu istimewa yang hadir daripada kalangan tokoh terkenal dalam dunia perlumbaan.
Schwab dianggarkan memiliki kekayaan bersih bernilai AS$12.9 bilion (RM57.11 bilion) manakala Penske AS$5.6 bilion (RM24.79 bilion).
Rabu lalu, Bloomberg melaporkan ia ‘hari terbaik dalam sejarah’ bagi golongan bilionair, apabila orang terkaya di dunia meraih AS$304 bilion (RM1.34 trilion) hasil lonjakan pasaran saham.
Pada hari itu, pemenang individu terbesar adalah Elon Musk yang memperoleh AS$36 bilion (RM159.36 bilion) apabila saham Tesla melonjak 23 peratus.
Keputusan mengejutkan Trump untuk menangguhkan sementara tarif tinggi menimbulkan kebimbangan besar mengenai manipulasi pasaran yang jelas, malah kemungkinan perdagangan orang dalam.
‘Kemenangan besar’ pada Rabu itu mencetuskan tuduhan manipulasi pasaran dan perdagangan orang dalam, dengan pengkritik Trump menuduhnya memberi petunjuk mengenai penangguhan tarif kepada rakan-rakan kayannya untuk membeli saham.
Justeru, rakan bilionair Trump dikatakan mengetahui lebih awal mengenai penangguhan tarif dan melakukan pembelian saham besar-besaran kerana sudah pasti mengenai peningkatan harga saham.
Ahli Demokrat California, Adam Schiff, menggesa Kongres menjalankan siasatan rasmi.
Senator Demokrat Arizona, Ruben Gallego, menyertai Schiff dalam menandatangani surat yang dihantar ke Rumah Putih pada pagi Khamis untuk ‘menggesa siasatan segera’.
Siasatan merangkumi aspek sama ada Trump, keluarganya atau ahli pentadbiran lain terbabit dalam perdagangan orang dalam atau transaksi kewangan haram, dengan pengetahuan lebih awal mengenai perubahan dasar tarif yang tidak diumumkan, lapor Agensi.
Bagaimanapun, jurucakap Rumah Putih menuduh ahli Demokrat bermain ‘permainan partisan’ selepas gesaan siasatan itu.