KUALA LUMPUR – Ketidaktentuan dasar tarif yang sering berubah-ubah oleh Amerika Syarikat (AS) bukan sahaja mengganggu kestabilan pasaran global, malah boleh memberi kesan besar kepada ekonomi negara kita.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan, susulan ketidaktentuan dasar tarif itu Malaysia tidak boleh berdiam diri.
“Dunia hari ini semakin mencabar. Ketidaktentuan dasar tarif yang sering berubah-ubah oleh Amerika Syarikat bukan sahaja mengganggu kestabilan pasaran global, malah boleh memberi kesan besar kepada ekonomi negara kita.
“Oleh itu, kita tidak boleh berdiam diri. Kerjasama, perbincangan dan libat urus yang berterusan bersama semua pihak amat penting bagi memastikan setiap keputusan yang diambil berpaksikan kefahaman yang jelas terhadap impak kepada rakyat dan negara,” katanya.
Sehubungan itu ujar Mohamad, pagi tadi telah berlangsung mesyuarat kedua National Geoeconomic Command Centre (NGCC).
“Dalam mesyuarat ini, pelbagai cabaran dan risiko semasa serta yang dijangka pada masa akan datang telah diperincikan.
“Perbincangan ini penting untuk merangka strategi dan pendekatan yang tersusun dan berfokus agar pertumbuhan ekonomi serta perdagangan negara kekal mampan dan berdaya tahan,” katanya.
Justeru menurut Presiden Amanah itu, kerajaan komited untuk terus memberi tumpuan kepada aspek ketahanan ekonomi negara.
“Namun, kita sedar bahawa kekuatan sebenar terletak pada sumbangan sektor swasta dan para pemain industri. Merekalah yang menjadi tulang belakang kepada daya saing negara di peringkat global.
“Insya-Allah, dengan perancangan yang teliti dan kerjasama erat daripada semua pihak, kita akan mampu mendepani segala cabaran yang mendatang dan bersama-sama membawa negara ke arah masa depan yang lebih gemilang,” kata beliau.