KUCHING – Penduduk di Pending dan Padungan, Sarawak kini menikmati kemudahan akses Internet dan latihan keusahawanan hasil perasmian dua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) baharu hari ini.
Majlis perasmian NADI Pending dan NADI Padungan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching, sempena lawatan beliau ke kedua-dua pusat berkenaan.
Penambahan ini menjadikan keseluruhan 156 pusat NADI beroperasi di seluruh Sarawak, sejajar usaha merapatkan jurang digital dan sosioekonomi rakyat melalui teknologi maklumat dan Internet.
Menurut Teo, pusat NADI bukan sahaja bertindak sebagai hab capaian Internet kolektif, tetapi turut menjadi pemangkin pembangunan komuniti, khususnya melalui inisiatif NADI x Keusahawanan yang memberi tumpuan kepada peningkatan ekonomi setempat.
Di bawah program ini, pelbagai inisiatif seperti NADIpreneur dan NADI EmpowHER diperkenalkan bagi menyediakan latihan asas perniagaan, bimbingan dan sokongan khusus kepada wanita serta komuniti yang berminat menceburi bidang keusahawanan.
Setakat 31 Mac 2025, seramai 3,390 wanita telah mengikuti latihan di bawah Perkhidmatan Pintar NADI, mewakili hampir 85 peratus peserta program NADIpreneur.
Program NADI x Keusahawanan menyasarkan penyertaan 7,000 peserta di seluruh negara, dengan sekurang-kurangnya 60 peratus daripadanya terdiri daripada golongan wanita.
Latihan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh pusat NADI bagi memastikan akses menyeluruh dan impak berpanjangan kepada komuniti luar bandar serta golongan B40.-SuaraTV