Sokongan Orang Muda, Kerjasama BN dan PAS Faktor Kemenangan – Tok Mat

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau adalah referendum penolakan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH).

Penyandang kerusi Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kini BN perlu membuktikan mereka mampu menjadi pembangkang yang efisyen dalam pentadbiran sama ada dalam kerajaan negeri dan Pusat.

Beliau berkata, kemenangan BN dengan majoriti selesa juga disebabkan penerimaan semula pengundi muda kepada parti itu kini semakin kukuh.

“Jika dalam pilihan raya umum lalu, BN banyak tewas di saluran orang muda namun kali ini kita dapat kepercayaan daripada mereka.

“Ini bukti penolakan dan kekecewaan golongan muda terhadap janji kerajaan PH,” katanya dalam sidang media selepas diumumkan sebagai pemenang PRK DUN Rantau, di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan, di sini, semalam.

Turut hadir, kepimpinan kanan parti komponen BN dan PAS selain pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO yakin kerjasama dengan PAS selain hubungan erat parti komponen BN membuahkan hasil menerusi kemenangan ini.

Katanya, blok pembangkang yang lebih kukuh akan diwujudkan dengan pembentukan kerjasama dua parti ini supaya negara kekal stabil dari segi politik, ekonomi dan dasar.

“Dalam kerjasama ini, kita menggunakan konsep ‘total football’ kerana mahu semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam blok pembangkang.

“Blok pembangkang juga akan terus berperanan menegur kerajaan sedia ada untuk memastikan dasar yang dilaksanakan kerajaan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya

Katanya, beliau juga tidak mempunyai halangan jika ada wakil rakyat kerajaan yang dulu bersama BN mahu kembali menyertai parti itu semula.

“Kalau mereka nak masuk, masuklah tapi nombor keahlian baru lah,” katanya. – HMetro

One thought on “Sokongan Orang Muda, Kerjasama BN dan PAS Faktor Kemenangan – Tok Mat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.