Kemenangan BN Di Rantau Isyarat Rakyat Tolak PH – Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mohamad Hassan atas kemenangannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, malam tadi.

Katanya, beliau bersyukur kepada Allah dengan hidayah-Nya memberi petunjuk kepada pengundi untuk memilih calon Barisan Nasional (BN) bagi mewakili rakyat bermasyarakat majmuk di DUN itu.

“Kemenangan ini menunjukkan perkembangan positif ke arah agenda penyatuan ummah dan permuafakatan di kalangan parti pembangkang, NGO dan tokoh berpengaruh,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, malam tadi.

Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat berjaya mempertahankan kerusi DUN Rantau selepas menang dengan majoriti 4,510.

Dalam pertandingan empat penjuru itu, beliau memperoleh 10,397 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR, Dr. S Streram mendapat 5,887 undi dan dua calon Bebas, Mohd Nor Yassin dan Malarvizhi masing-masing mendapat 66 dan 67 undi.

Menurut Abdul Hadi, kekalahan PKR dan PH dalam pilihan raya kecil ini menjadi isyarat penolakan rakyat terhadap yang gagal menunaikan janji.

Ia juga, katanya petanda rakyat menolak budaya politik populis dan ‘pak pandir’ yang hanya pandai menyalahkan pihak lain.

“Saya juga mengucapkan setinggi penghargaan kepada ahli dan jentera Pas serta Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang membantu kempen PRK DUN Rantau ini, termasuklah ahli Pas di Rantau yang turun mengundi hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.