PKR Permatang Pauh Sifatkan Mahathir Rakus, Kejam

PERMATANG PAUH – Parti Keadilan Rakyat Permatang Pauh menyifatkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad sebagai seorang yang rakus dan kejam.

 

Menurut Ketua Cabang Keadilan Permatang Pauh, Amir Haji Ghazali, kerjasama Tun Mahathir bersama beberapa kepimpinan Pakatan Harapan dilihat hanya bermotifkan kepentingan politik peribadi mantan Perdana Menteri itu sahaja.

 

“Tun Mahathir digambarkan sebagai seorang nasionalis hebat yang cintakan negara, berubah untuk berada selari dengan agenda reformasi bersama Pakatan Harapan dan ternyata hanya kicauan hasrat peribadi semata-mata apabila menyelar dan menyerang dengan kata-kata nista dan mengulangi tuduhan moral ke atas Datuk Seri Anuar Ibrahim sepertimana pada tahun 1998,” katanya.

 

Tambah beliau lagi, Tun Mahathir adalah merupakan dalang Gestapo 98 yang menyebabkan perkara-perkara buruk yang telah berlaku pada ketika itu.

 

“Walaupun Datuk Seri Anuar Ibrahim telah memaafkan musuh politiknya termasuk Tun Mahathir, namun Tun Mahathir lah yang mewarnakan Gestapo 98 menyusun skrip pembunuhan karakter dan melakukan fitnah sehingga beliau merengkok dalam penjara namun tiada setitis rasa bersalah untuk memberi ucapan maaf secara terbuka terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Tun Mahathir,” katanya.

 

Menurut beliau lagi , Tun Mahathir hanya ‘Politikus Tua’ yang takut kepada sejarah silam dan idea kegagalan pentadbiran beliau.

 

“Tun Mahathir seorang politikus tua yang takut dengan sejarah silamnya hasil tangan dan idea mentadbir negara bangsa selama hampir 30 tahun meletakkan negara dalam konflik perkauman, rasuah, keselamatan dan parahnya ekonomi negara.

 

“Ekoran daripada semangat Deklarasi Permatang Pauh (kami) menyelar kenyataan menghina Tun Mahathir terhadap Ikon Reform Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kami menganggap Tun Mahathir tidak layak bersama gerakan rakyat,” tegasnya.

 

Terdahulu, Tun Mahathir bersama dengan beberapa pemimpin pembangkang seperti Lim Kit Siang, Azmin Ali dan Rafizi telah menandatangani Deklarasi Rakyat bagi menjatuhkan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.