Pengerusi NGO Melayu, Jamal Yunos Dihalang Masuk Sarawak

KUALA LUMPUR – Pengerusi Gabungan NGO Melayu, Datuk Jamal Yunos bersama rakan-rakannya yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pagi tadi diarahkan kembali semula ke KLIA.

 

Beliau yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dipercayai dihalang masuk ke negeri itu berikutan pelbagai kenyataannya sebelum ini yang dikatakan bersifat perkauman.

 

Menurut laporan FMT, Jamal memberitahu beliau bersama tujuh rakan lain tiba di Kuching jam 11.30 pagi tadi dan hanya empat rakannya yang dibenarkan masuk ke Sarawak.

 

Selain dirinya, tiga lagi rakan lain yang dihalang masuk dikenali sebagai Ariffin Abu Bakar, Rahim Ibrahim dan Razali Zakaria yang dikenalpasti aktif dalam Gabungan NGO Melayu.

 

“Apa masalahnya kami nak masuk ke Sarawak? Kita pun rakyat Malaysia juga. Kita nak jumpa rakan-rakan NGO di sini.

 

“Kita datang bukan nak buat demo di Sarawak. Kalau NGO DAP, NGO Cina macam-macam boleh pula masuk,” katanya yang akan mengambil penerbangan pulang ke KLIA jam 2.40 petang ini.

 

Terdahulu beberapa pemimpin pembangkang dari PKR, Amanah dan DAP turut dihalang memasuki Sarawak antaranya termasuklah Mohamad Sabu, Teo Nie Ching, Dr Afif Bahardin dan Zuraida Kamaruddin serta beberapa lagi yang lain.

 

Selain pemimpin politik, beberapa tokoh NGO seperti pensyarah dan penceramah bebas, Dr Ridhuan Tee Abdullah dan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali turut menghadapi halangan sama.

 

Sarawak dan Sabah mempunyai hak keistimewaan dalam peguatkuasaan imigresen yang boleh menentukan siapa yang dibenarkan atau dihalang masuk ke negeri itu selari dengan persetujuan dalam perjanjian penyertaan Sarawak ke dalam Malaysia pada 16 September 1963. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.