Khairy Sedia Berdebat Dengan TMJ

PETALING JAYA – Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai prestasi skuad Harimau Malaysia yang kian merosot.

 

Khairy berkata beliau sanggup berdebat dengan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sekiranya ia dapat membantu meningkatkan semula prestasi skuad kebangsaan berkenaan.

 

“Saya tidak tahu sama ada itu satu perkara yang baik atau tidak namun sesuatu perlu dilakukan. Seharusnya, bersemuka dan bertukar pendapat,” kata Khairy pada sidang media sebelum menghadiri majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2015 di sebuah hotel di sini, Rabu malam.

 

Bagaimanapun, kedua-dua pihak masih belum mendedahkan tarikh dan tempat debat tersebut.

 

Bola sepak Malaysia menerima satu lagi tamparan hebat apabila skuad Harimau Malaysia kini menghuni ranking ke-174 dalam senarai FIFA.

 

Kedudukan tersebut merupakan terburuk dalam sejarah bola sepak negara selepas menghuni tangga ke 171 pada Januari dan Februari lalu.

 

Tunku Ismail menerusi laman Facebook rasmi JDT, The Southern Tigers pada Selasa, dilaporkan mahu berdebat dengan Khairy dan wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mencari punca dan juga penyelesaian kepada kemerosotan prestasi skuad kebangsaan.

 

Baginda juga mahu perdebatan itu melibatkan para penyokong yang dibenarkan menyuarakan pendapat masing-masing dan menanyakan sebarang soalan yang dikehendaki.

 

Tunku Ismail sebelum itu menyanggah kritikan yang dibuat Khairy bahawa barisan pemain skuad kebangsaan tidak mampu mempamerkan aksi berkualiti tinggi. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.