Dr Zakir Dipelawa Buka Pusat Penyelidikan Di Terengganu

KUALA TERENGGANU — Kerajaan negeri Terengganu mempelawa ilmuan ulung Islam, Dr Zakir Naik yang juga penaung pertubuhan Islamic Research Foundation (IRF) untuk membuka cawangan atau pusat penyelidikan bagi rantau Asia Tenggara di negeri ini.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata dengan wujudnya IRF di negeri ini, Terengganu akan lebih dikenali sebagai antara pusat perkembangan ilmu dan Islam di rantau ini.

 

“Insya-Allah, (hari ini) saya akan bertemu dengan Dr Zakir Naik dan berbincang dengan beliau berhubung tawaran kerajaan negeri bagi membuka cawangan IRF di negeri ini.

 

“Mungkin kita akan tawarkan sebuah daripada pulau-pulau di kawasan Tasik Kenyir untuk dijadikan lokasi pusat ilmu tersebut,” katanya kepada pemberita selepas  menganugerahkan watikah pelantikan anggota Jawatankuasa Pemandu Membanteras Dadah Negeri Terengganu di sini semalam.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Terengganu Baharu, Komunikasi dan Multimedia Negeri, A Latiff Awang dan Pengarah Agensi Antidadah (AADK) Terengganu Rahayu Ahmad.

 

Dr Zakir Naik, berasal dari India yang juga Tokoh Maal Hijrah peringkat Antarabangsa 2013 kini dalam rangka jelajah ceramah umumnya dalam pelbagai tajuk di beberapa negeri termasuk Terengganu, Melaka dan Kuala Lumpur. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.