Datuk Vida Nafi Tawar Beg Berjenama Di Laman Facebook

KUALA LUMPUR — Siapa yang tidak mahu beg percuma berjenama mewah Louis Vuitton (LV)?

 

Syaratnya pula mudah sahaja, seseorang hanya perlu kongsikan coretan personaliti terkenal “Dato’ Seri Vida” di Facebook.

 

Dalam tempoh 16 jam, coretan itu bersama foto beg LV dikongsikan lebih 220,000 kali dan ditandakan ‘suka’ oleh 54,000 pengguna di akaun “DSV — Dato’ Seri Vida”.

 

Beg mahal yang tidak pernah dipakai oleh personaliti itu akan diserahkan kepada seseorang yang bertuah hujung minggu ini, demikian menurut “halaman peminat rasmi” usahawan itu.

 

Sayangnya, semua itu palsu dan semua perkongsian itu sia-sia sahaja. Harapkan beg mahal, akhirnya tinggal angan-angan selepas pengasas Vida Beauty Sdn Bhd menafikan tawaran itu.

 

Datuk Seri Hasmiza Othman berkata akaun “DSV-Dato’ Seri Vida” di laman sosial itu, yang sudah ditutup ketika disemak ProjekMMO, bukan miliknya dan tidak dikendalikan oleh pihaknya.

 

“DSV — Dato’ Seri Vida akaun palsu yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Ia sama sekali bukan dikendalikan oleh saya atau wakil pihak pengurusan Vida Beauty,” katanya.

 

“Sebarang promosi, iklan, hadiah atau apa-apa yang berkaitan tentang Vida Beauty atau Qu Puteh adalah tidak benar dan palsu sama sekali,” katanya di akaun Facebook miliknya.

 

Namun Hasmiza, atau lebih dikenali sebagai Dr Vida, mengakui berniat memberi beg LV kepada peminat tetapi tidak menyangka kenyataannya digunakan di akaun palsu.

 

“Memang saya ada tawarkan (beg LV) tapi saya tidak buat apa-apa pengumuman lagi,” katanya, kini penaja utama pasukan bola sepak Kelantan, ketika dihubungi ProjekMMO hari ini.

 

“Stok pun sudah ada tetapi ia [akaun palsu] ambil kenyataan saya dan tidak sangka begitu cepat ia tersebar. Beg tangan itu juga palsu,” katanya, seorang pengumpul beg tangan mewah.

 

Penaja program-program hiburan TV itu juga mengakui pernah menghadiahkan beg tangan kepada pengedar-pengedar barangannya, antaranya Qu Puteh dan Pamoga.

 

“Saya akan beri secara rasmi kepada pengikut saya yang banyak membantu dan menyokong produk saya tetapi hanya melalui akaun Facebook saya yang betul,” katanya lagi.  – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.