Taman Tema BoboiBoy Di Perak

Suatu ketika dulu, barisan artis popular tempatan seperti Search, Wings, Iklim, Datuk Sheila Majid dan Datuk Siti Nurhaliza cukup popular di Indonesia.

 

Malah, hingga hari ini nama mereka masih menjadi sebutan di tanah seberang itu.

 

Tahun lalu, giliran produk animasi kebanggaan tanah air, BoBoiBoy menembusi Indonesia dan mendapat sambutan luar biasa penonton di sana.

 

Bukan saja di Indonesia, BoboiBoy juga popular di beberapa negara Asia Tenggara lain antaranya Filipina dan Vietnam.

 

Semestinya satu pencapaian yang cukup membanggakan, animasi dihasilkan sepenuhnya produksi tempatan Animonsta Studios itu ternyata mengangkat lagi martabat industri kreatif kita.

 

Lebih mengujakan, sebuah taman tema The Home of BoboiBoy bakal dibuka di Ipoh, Perak tahun depan.

 

Berbanding mengambil ikon animasi antarabangsa yang lebih dulu popular dan gah, BoBoiBoy jelas jadi pilihan utama untuk mengisi sebahagian kawasan dalam taman tema bertaraf antarabangsa itu.

 

Menyifatkannya sebagai satu lagi pencapaian terbesar buat BoBoiBoy, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Animonsta Studios Mohd Nizam Abd Razak berkata, dia sendiri tidak menyangka akan meraih peluang keemasan itu.

 

“Selama ini kami cuma menyasarkan keuntungan daripada hasil tayangan animasi itu saja, tetapi tawaran seperti itu tidak harus dilepaskan. Saya rasa inilah peluang untuk mengembangkan lagi jenama BoBoiBoy,” katanya.

 

Menurut Mohd Nizam, tarikan utama taman teman itu nanti ialah permainan 4D BoBoiBoy Adventure Ride selain empat lagi termasuk sebuah kafe serta persembahan maskot animasi itu.

 

Kewujudan taman tema itu juga dijangka mampu menarik pelancong berikutan BoboiBoy sudah mengumpul peminat di sekitar Asia Tenggara.

 

“Peminat BoboiBoy pastinya akan lebih teruja apabila mengetahui kewujudan taman tema itu dan tidak mahu melepaskan peluang merasai pengalaman mendekati BoBoiBoy,” katanya.

 

Kekalkan BoBoiBoy dalam bahasa Malaysia

 

Bercerita mengenai piopulariti BoBoiBoy, Mohd Nizam mengakui dia sendiri tidak menyangka ia boleh mencapai tahap itu.

 

“Saya terkejut apabila ia mendapat sambutan di negara yang rakyatnya tidak bertutur dalam bahasa Melayu. Bayangkan, di Filipina sekarang penontonnya sendiri belajar bahasa kita dan kami juga akan mengekalkan animasi itu dalam bahasa Malaysia,” katanya.

 

Mohd Nizam berkata, kekuatan cerita itu ialah kerana jalan ceritanya lebih bersifat komersial serta berorientasikan kekeluargaan dan kerana itulah penonton dapat berhubung dengan BoBoiBoy.

 

“Selain negara serantau, kami juga mahu membawa BoboiBoy ke Timur Tengah manakala filem sulung BoBoiBoy dijangka ditayangkan pada November tahun ini,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.