‘Saya Tidak Pernah Kata 70 Orang Anggota Tentera Terlibat IS’ – Abd Rahim Bakri

KOTA KINABALU – Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri menafikan sekeras-kerasnya laporan sebuah portal berita hari ini yang menyebut beliau sebagai berkata terdapat hampir 70 orang anggota tentera di negara ini menyertai kumpulan militan IS (Negara Islam).

 

Abdul Rahim dalam kenyataannya kepada Bernama di sini malam ini menjelaskan bahawa apa yang beliau katakan ialah hampir 70 rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang termasuk penganggur telah menyertai kumpulan militan itu berdasarkan sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

“Portal berita berkenaan memutarbelitkan kenyataan saya. Apa yang saya katakan ialah PDRM melaporkan ada hampir 70 rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang (menyertai IS). Saya tidak pernah kata anggota tentera.

 

(Berita sebelumnya;- “70 Anggota Tentera Dikesan Terlibat IS“)

 

“Laporan itu berniat jahat untuk memburukkan imej Angkatan Tentera Malaysia tanpa merujuk fakta sebenar,” katanya merujuk kepada laporan portal berita berkenaan.

 

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung latar belakang rakyat Malaysia yang terlibat dalam kumpulan militan IS dan hanya PDRM boleh membuat pengesahan mengenai perkara itu. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.