Perintah Berkurung Di Enam Daerah ESSZONE Dilanjut Hingga 30 April

KOTA KINABALU – Perintah berkurung di enam daerah di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dilanjutkan bagi fasa ke-18 mulai Khamis ini hingga 30 April.

 

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor iaitu bagi menjaminkan keselamatan dan kesejahteraan pengguna perairan, pelancong dan rakyat Sabah di ESSZONE.

 

“Ia juga bagi memudahkan penguatkuasaan, memantau segala pergerakan bot yang cuba menceroboh untuk melakukan jenayah rentas sempadan, menyekat aktiviti penyeludupan manusia, dadah dan senjata api.

 

“Langkah ini mendapat sokongan pengusaha pelancongan dan aktiviti perikanan dalam menjamin keselamatan perairan termasuk pulau di persempadanan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

 

Jalaluddin berkata, kuasa telah diberikan kepada semua ketua polis daerah di ESSZONE untuk mengeluarkan permit kepada pemohon bagi tujuan perikanan atau aktiviti laluan yang mendesak.

 

Perintah berkurung dikuatkuasakan mulai jam 7 malam hingga 5 pagi membabitkan jarak tiga batu nautika dari pantai hingga ke titik garisan ditetapkan. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.