Pengalaman Perit 36 Jam Dalam Bas Akibat Perang Di Yaman

SEPANG – Perjalanan selama 36 jam dari Tarim, Yaman ke Oman merupakan pengalaman yang sukar dilupakan bagi pelajar pengajian kitab, Amirul Danien Hafiz, 15, kerana terpaksa menahan kesakitan berikutan kakinya bengkak akibat duduk terlalu lama di dalam bas.

 

Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa hanya 17 jam itu menjadi terlalu lama, berikutan enam sekatan jalan raya dan pemeriksaan oleh pihak berkuasa Yaman.

 

Pelajar Madrasah Dar al-Mustafa, Tarim itu terpaksa menggunakan kerusi roda ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) Isnin malam setelah menaiki pesawat dari Doha, Qatar ke KLIA.

 

“Ini merupakan kali pertama saya mengalami bengkak kaki…kemungkinan ini disebabkan saya duduk terlalu lama dalam bas.

 

“Agak susah kerana tidak boleh berjalan sepanjang perjalanan sehingga terpaksa meminta bantuan rakan-rakan untuk bergerak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini Isnin malam.

 

Amirul seorang daripada 70 rakyat Malaysia yang menaiki Qatar Airways, QR852 dan tiba di KLIA pada 8.34 malam.

 

Mereka adalah antara 168 rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Hadhramaut, Yaman ke Salalah, Oman.

 

Dijangka 98 rakyat Malaysia dari Salalah akan tiba Selasa dengan 52 orang akan menaiki QR844 dari Doha ke KLIA dan dijangka tiba pada 8.25 pagi manakala 46 orang lagi akan menaiki QR852 dan tiba pada 8.50 malam.

 

Sementara itu, pelajar jurusan agama Islamiah, Abdul Muiz Abdul Rahim, 21, berkata beliau dan rakannya terpaksa pulang ke Malaysia berikutan tiada jaminan keselamatan daripada tenaga pengajarnya.

 

“Saya antara 90 pelajar Malaysia yang tidak pulang apabila pergolakan di Yaman pada tahun lalu kerana keadaan di sana pada ketika itu tenang.

 

“Walaupun keadaan di Seiyun terkawal masa ini, tetapi keadaan di Al Mukalla dah mula terkesan akibat pergolakan di Aden sehingga pengajar kami menasihatkan kami pulang,” katanya sambil menambah terpaksa mengambil masa empat tahun lagi untuk menamatkan pengajian.

 

Setakat ini, kerajaan telah membawa pulang 330 rakyat Malaysia, termasuk 70 rakyat Malaysia yang tiba Isnin malam, sejak 7 April berikutan perang saudara yang semakin meruncing di Yaman. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.