Pemuda UMNO Beri Sokongan Kepada Najib

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO hari ini menzahirkan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dalam mentadbir negara.

 

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata walaupun ketika ini kerajaan berdepan pelbagai cabaran, beliau percaya ia dapat diatasi dengan sebaik mungkin.

 

Lebih-lebih lagi, tambah Khairy, apabila Najib memberi penjelasan mengenai beberapa isu yang dibangkitkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada kepimpinan UMNO.

 

Antaranya isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), isu Altantuya dan jet kerajaan.

 

Dalam pada itu, apabila ditanya mengenai keikhlasan kepimpinan UMNO yang dikatakan palsu terhadap UMNO, Khairy menjelaskan, sokongan Pemuda UMNO terhadap UMNO bukan secara membuta tuli.

 

“Kalau kita bagi sokongan membuta tuli kepada pemimpin yang bagi pandangan dan pendapat, kita tak boleh pertahankan. Bukan saja pemimpin itu akan jatuh, tetapi kapal UMNO akan karam dalam pilihanraya akan datang.

 

“Kenapa kita nak bagi sokongan palsu? Saja nak bermuka-muka depan Presiden, depan Perdana Menteri, cuma semata-mata nak jaga kedudukan kita?

 

“Mungkin saya ada jawatan, tetapi Exco Pemuda UMNO rata-rata tidak ada jawatan dalam kerajaan. Mereka adalah pemimpin akar umbi.

 

“Tak mungkin mereka akan memberi keyakinan kepada saya bahawa Pemuda sokong presiden sekiranya mereka rasa presiden kita tidak layak untuk disokong,” kata Khairy ketika ditemui pada sidang media Majlis Perjumpaan Kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO bersama Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Isnin.

 

Sejurus selesai majlis, Najib diarak kalangan pemuda UMNO beramai-ramai tanda sokongan padu terhadap beliau.

 

Sementara itu, Menurut Khairy lagi, Pemuda UMNO berharap Presiden UMNO akan terus mendekati rakyat dan menjelaskan beberapa isu yang menjadi kekeliruan dan tanda tanya mereka selama ini. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.