Hadi Mahu Terus Berkuasa – Zairil Khir Johari

Kuala Lumpur – Kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam akhbar Mingguan Malaysia, bahawa parti itu Pas wajib berunding apabila diajak Umno, mengundang rasa kurang senang DAP.

 

Penolong Setiausaha Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari dalam kenyataannya mengungkit semula kisah lama dan seolah-olah cuba menjadi batu api bagi menghalang hasrat Pas melaksanakan hudud di Kelantan.

 

Selain menempelak Hadi yang dikatakan cuba mengukuh pengaruh pada Muktamar Pas yang akan datang, dia cuba mengungkit keikhlasan sebenar UMNO berhubung pelaksanaan hudud.

 

Zairil juga cuba mengaitkan beberapa tokoh Pas yang telah meninggal dunia seperti Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ustaz Fadzil Noor bagi menyokong kenyataanya.

 

Dia menuduh pendirian Abdul Hadi yang dikatakan bergantung kepada musuh untuk terus berkuasa, yang disifatkannya bertentangann dengan dengan tokoh berkenaan

 

“Adalah amat malang bagi Pas dan rakyat Malaysia yang menginginkan perubahan besar sekiranya kepimpinan parti hanya terdaya untuk bergantung kepada musuh politik bagi mengekalkan kepentingan mereka. Setelah berkali-kali ditipu oleh Umno, Pas seharusnya sedar dan tidak menjadi pelanduk yang melupakan jerat.

 

“Berbeza dengan Presiden Pas kini, sikap pemimpin-pemimpin terulung Pas seperti Almarhum Ustaz Fadzil Noor dan Almarhum Tok Guru Nik Aziz senantiasa tegas, jelas dan jujur dalam berpolitik. Dalam isu hubungan dengan Umno, kedua-dua mereka lantang mengingatkan agar sentiasa menjauhi Umno yang licik”, tempelaknya.

 

Dalam kenyataannya setebal dua muka surat, dia melontarkan persoalan mengapa parti pemerintah itu tidak menunjukkan minat di negeri-negeri yang dikuasainya dan hanya memberi sokongan ia dilaksana di Kelantan.

 

Begitu juga dengan pendirian beberapa menteri daripada UMNO yang secara terang-terangan menolak pelaksanaannya.

 

Dalam penjelasan yang diberikan, Zairil juga cuba merendahkan Abdul Hadi, apabila dia menyifatkannya Ahli Parlimen Marang itu tidak memahami politik maksud yang tersirat di sebalik pelawaan UMNO.

 

Katanya, Pas hanya dipergunakan UMNO dalam masa terdesak dan parti itu sendiri pernah menghalang pelaksanaan hudud pada 1993.

 

“Beliau juga seharusnya maklum bagaimana Umno telah menipu dan hampir melenyapkan Pas pada tahun 1970-an dahulu melalui penyertaan Pas dalam kerajaan campuran “UG” pertama, iaitu Barisan Nasional. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1969, Kerajaan Perikatan mengalami kemerosotan apabila banyak undi Melayu berpindah ke Pas. Ekoran pembentukan gabungan besar selepas itu, Umno-Barisan Nasional telah mendapat kejayaan besar pada PRU 1974”.

 

Dakwanya, sumbangan yang dibuat Pas dikhianati tiga tahun kemudian, selepas ia disingkirkan daripada Barisan Nasional (BN) dalam helah darurat di Kelantan sehingga parti berkenaan mengalami krisis kepimpinan yang hampir menghancurkannya.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bendera itu juga cuba membangkitkan luka lama Pas dengan mengungkit semula Tragedi Memali, 30 tahun lalu.

 

“Bagaimana pula dengan Tragedi Memali pada tahun 1985? Sekiranya Pas ingin bekerjasama dengan Umno, tidakkah mereka perlu terdahulu menuntut kebertanggungjawaban terhadap kematian Ustaz Ibrahim Libya dan pengikut-pengikutnya?” soalnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.