Guru KAFA Sedia Dihukum

SHAH ALAM – Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Ekhsan Bukharee Badrul Hisham yang bakal berdepan tindakan tegas nekad untuk menerima apa sahaja hukuman yang akan dikenakan terhadapnya berikutan perbuatannya menuntut kenaikan elaun golongan itu daripada kerajaan negeri baru-baru ini.

 

Ekhsan Bukharee, 24, berkata, dia akan terus memperjuangkan kebajikan guru KAFA walaupun dia sendiri berkemungkinan terpaksa hilang pekerjaan.

 

Menurutnya, dia tidak boleh berhenti separuh jalan memandangkan perjuangan tersebut dimulakan olehnya.

 

“Kalau saya yang memulakan maka sayalah yang kena habiskan. Saya optimis dalam memperjuangkan nasib guru KAFA,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Rabu lalu, Ekhsan Bukharee dihalang memasuki Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menuntut janji kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menaikkan elaun guru KAFA daripada RM1,300 kepada RM1,500.

 

Berikutan perbuatan tersebut, guru Sekolah Rendah Agama Pekan Kapar itu berkemungkinan menerima tindakan tegas daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

 

Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim berkata, pihaknya telah meminta Ekhsan Bukharee memberi penjelasan berhubung tindakannya dalam tempoh dua minggu. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.