Guru KAFA Berdepan Tindakan Pemberhentian Kerja

SHAH ALAM – Perkhidmatan guru Sekolah Rendah Agama Pekan Kapar, Ekhsan Bukharee Badrul Hisham yang baru-baru ini cuba memasuki Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menyampaikan surat tuntutan kenaikan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu (KAFA) kepada wakil rakyat boleh ditamatkan kerana melanggar terma perjanjian pelantikan.

 

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim berkata, bagaimanapun, pihaknya masih memberi peluang kepada Ekhsan Bukharee untuk memberi penjelasan berhubung perbuatannya itu.

 

Menurutnya, jika gagal memberikan penjelasan dalam tempoh ditetapkan, JAIS akan menyemak semula perjanjian tersebut dan menamatkan lantikan kerana gagal memenuhi perjanjian.

 

“Beliau (Ekhsan Bukharee) bukan seorang penjawat awam. Pelantikannya sebagai guru KAFA berstatus sambilan. Sebelum dilantik, beliau telah menandatangani perjanjian dengan pihak kerajaan.

 

“Perbuatannya adalah melanggari terma perjanjian lantikan. Salah satu terma perjanjian ialah kerajaan berhak menamatkan lantikan dalam tempoh 14 hari notis,” katanya kepada Utusan Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

 

Rabu lalu, Ekhsan Bukharee, 24, dihalang memasuki DUN bagi menuntut janji kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor untuk menaikkan elaun guru KAFA daripada RM1,300 kepada RM1,500. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.