Gadis Kyrgyzstan Terbangkan Helikopter Sebelum Terhempas?

Data kotak hitam helikopter yang terhempas di Semenyih pada 4 April lalu menunjukkan penumpang wanita “misteri”, Aidana Baizieva, memainkan peranan utama dalam penerbangan helikopter Dauphin AS365N2, lapor akhbar The New Straits Times hari ini.

 

Menurut akhbar itu, data yang diperoleh daripada perakam suara kokpit (CVR) menunjukkan Baizieva, 25, warga Kyrgyzstan itu “terlibat secara aktif” dalam operasi menerbangkan helikopter.

 

Memetik sumber, rakaman itu juga merekodkan pertukaran suara di antara pelajar jurusan pelancongan itu dan juruterbang, Kapten Clifford William Fournier, yang bertanggungjawab menggendalikan penerbangan itu.

 

Baizieva sebelum ini dilaporkan sebagai pembantu juruterbang yang terlibat dalam nahas, namun polis menafikan wujudnya bukti menyokong dakwaan itu.

 
Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat juga dilaporkan berkata, Baizieva mendalami dunia penerbangan dan sering mengikuti Fournier menaiki helikopter.

 

Eurocopter AS365N2, menurut sumber akhbar itu, juga dikatakan terbang serendah 2,000 kaki selepas hilang kawalan dan terputus hubungan.

 

Sumber itu juga mengatakan ada petunjuk kukuh berlakunya letupan ketika penerbangan sebelum helikopter itu jatuh terhempas.

 

Nahas itu mengorbankan enam orang termasuk Ahli Parlimen Rompin yang juga Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Azlin Alias.

 

Turut terkorban ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pengawal peribadi Jamaluddin, Koperal Razakan Seran.

 

Kesemua mereka dalam perjalanan pulang dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor, Nooryana Najwa dan Daniyar Kessikbayev. – MalaysiaInsider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.