Asrama Kem PLKN Dusun Minda Resort Terbakar

Kuala Nerang – Dua buah blok bangunan asrama pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Dusun Minda Resort, Kampung Pisang musnah dalam kebakaran semalam.

 

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang Bukhari Kassim berkata bomba menerima panggilan pada pukul 8.14 malam dan tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.

 

“Enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang bersama sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di Alor Star hari ini.

 

Bukhari berkata anggotanya mengambil masa hampir satu jam untuk memadamkan kebakaran dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 9.24 malam.

 

Katanya jumlah kerugian dianggarkan RM50,000.

 

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku berikutan tiada pelatih yang ditempatkan di situ memandangkan kerja naik taraf sedang dilakukan di kem itu. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.