ADUN Bukit Lada Digesa Minta Maaf Pada Mukhriz

ALOR SETAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin perlu menarik balik kenyataan meminta Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir meletak jawatan jika gagal membuat pendirian terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Ketua UMNO Cawangan Bukit Lada, Musa Ahmad berkata, desa­kan seumpama itu tidak sepatutnya dilakukan oleh ahli UMNO kerana boleh membawa perpecahan kepa­da parti.

 

Katanya, Ahmad juga perlu meminta maaf kepada Mukhriz di atas kenyataan tersebut bagi memulihkan kembali keadaan.

 

“Saya daripada wakil akar umbi Bukit Lada tidak bersetuju dengan kenyataan Ahmad itu kerana menunjukkan seolah-olah berlakunya perbezaan di antara Pusat dan negeri.

 

“Sepatutnya beliau tidak perlu terburu-buru memberikan kenyataan berhubung perkara ini, kita perlu serahkan kepada Badan Perhubungan UMNO negeri untuk buat keputusan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

 

Sebanyak 30 ketua cawangan kawasan Bukit Lada turut hadir dalam sidang akhbar tersebut.

 

Dalam masa sama, Musa berkata, ADUN Bukit Lada itu seolah-olah cuba mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku.

 

“Hubungan Najib dan Mukhriz amat baik dan tidak mempunyai masalah, perkara itu dapat dilihat semasa berlangsungnya Konvensyen UMNO negeri di sini pada bulan lalu.

 

“Setakat ini, kami menyokong Perdana Menteri dan Mukhriz. Ini kerana kepemimpinan Mukhriz dipercayai oleh Najib memimpin negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.