99 KPI Bumiputera Untuk Semua Kementerian – PM

Putrajaya – Majlis Ekonomi Bumiputera memperakukan sebanyak 99 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bumiputera bagi tahun ini bagi semua 23 kementerian dan Jabatan Perdana Menteri (JPM), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Beliau berkata bilangan KPI tahun ini lebih rendah dari tahun sebelumnya iaitu 129 kerana kerajaan mahu melihat semua kementerian melaksanakan KPI yang berimpak tinggi, bersifat ‘outcome-based’ dan mempunyai sasaran lebih tinggi dari 2014.

 

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata antara KPI bumiputera tahun ini adalah menentukan peningkatan siswazah berstatus bekerja semasa konvokesyen selain memastikan peratusan besar pelajar di institusi pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

 

“KPI lain adalah lebih banyak penajaan biasiswa luar negara Program Khas Kejuruteraan Jepun, Korea, Perancis dan Jerman diberi kepada bumiputera,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan pencapaian positif KPI bumiputera 2014 kementerian dan pelancaran Majlis Penasihat Industri untuk mempertingkat kapasiti dan keupayaan usahawan di sini, hari ini.

 

Terdahulu, Najib mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera selama kira-kira dua jam.

 

Perdana menteri berkata KPI bumiputera yang lain termasuk memastikan pemindahan teknologi kepada bumiputera dengan nilai kontrak sekurang-kurangnya RM200 juta dan penjanaan nilai pasaran sebanyak RM2 bilion.

 

Selain itu, katanya, semua kementerian dan JPM perlu memastikan peratusan besar pemilikan rumah di bawah Program Bantuan Rumah diterima oleh bumiputera dan menjual sejumlah besar rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat kepada golongan itu.

 

Najib berkata KPI lain yang ditetapkan adalah memastikan hampir 40 peratus daripada keluasan keseluruhan premis perniagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) disewakan kepada bumiputera.

 

“Lebih 50 peratus (kumulatif) daripada kos keseluruhan projek Mass Rapid Transit ditawarkan kepada bumiputera dan 150 francaisi bumiputera baharu diwujudkan dengan nilai perolehan sekurang-kurangnya RM48 juta,” kata Najib.

 

Perdana menteri berkata KPI bumiputera adalah penting bagi menentukan agenda ekonomi bumiputera dilaksanakan oleh semua kementerian dan agensi kerajaan bagi menentukan pembangunan negara bersifat inklusif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.