Usul Isytihar Darurat Pencemaran Bahan Kimia Di Pasir Gudang Ditolak – Timb. Menteri

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini menolak usul tergempar mahu Pasir Gudang diisytiharkan sebagai kawasan darurat bencana.

Ini kerana tiada keperluan untuk bertindak demikian jelas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin.

Menurutnya, sehingga kini kerajaan negeri Johor tidak membuat sebarang permohonan agar kawasan itu diisytiharkan darurat akibat pencemaran kimia yang berlaku sejak seminggu yang lalu.

Namun katanya, usul tersebut diluluskan hanya untuk dibahaskan kerana keprihatinan semua anggota Dewan Rakyat terhadap isu yang melibatkan kepentingan orang awam.

“Usul minta supaya isytihar darurat, kita tidak terima. Kalau kira secara literal tolak usul tapi sebenarnya kita tidak terima sebab kalau tolak sepenuhnya kita tolak juga dibahaskan tapi kita terima perbahasan. Kita mahu orang tahu kita prihatin terhadap isu ini.

“Mesti ada permintaan dari kerajaan negeri, tiada keperluan untuk pengundian di bawah usul ini. Kerajaan negeri Johor ada penasihat undang-undang, mereka pun tahu berkaitan perkara ini. Setakat ini Johor kata masih boleh uruskan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Permintaan pengisytiharan darurat katanya lagi perlu memenuhi beberapa kriteria iaitu kematian yang ramai, keselamatan awam yang akhirnya akan dinilai oleh Perdana Menteri.

“Darurat bencana ada arahan amalan bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), mesti ada kematian yang ramai dan beberapa perkara tapi bukan isu kematian sahaja, keselamatan awam pun kita ambil kira ada tiga peringkat.

“Dalam kes ini iaitu kerajaan tempatan tidak dapat uruskan maka serah pada kerajaan negeri dan boleh uruskan tapi masih minta bantuan kepada kerajaan persekutuan sebab itu semua tentera polis Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT), Timbalan Perdana Menteri (TPM), menteri turun padang, dari semasa ke semasa akan turun bantu Jawatankuasa kerajaan negeri walaupun tidak isytihar darurat.

“(Kerajaan) negeri perlu pohon dari Pengurusan Bencana Pusat, dan Pengurusan Bencana Pusat akan akan kaji dan akan beri pada Perdana Menteri. Perdana Menteri yang akan buat keputusan,” katanya lagi.

Meskipun masih dalam bidang kuasa kerajaan negeri Johor namun kata Hanipa lagi kerajaan persekutuan menghulurkan bantuan khususnya peruntukan RM8 juta untuk pembersihan Sungai Kim Kim.

Terdahulu Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim membacakan usul dibawah Peraturan Mesyuarat 18(2) supaya Kerajaan Persekutuan harus mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang, Johor akibat pencemaran kimia toksik.

Hanipa selain itu menafikan mesyuarat kabinet yang akan berlangsung esok akan memuktamadkan sama ada darurat di Pasir Gudang namun sebaliknya semua menteri Pakatan Harapan akan menggunakan peluang itu untuk membincangkan kes pencemaran yang pertama kali berlaku dalam negara itu.

“Esok, mungkin nak bincang lebih lanjut dalam kabinet, mungkin itu makusd Dr. Dzulkefly Ahmad. Tak mungkin kabinet isytihar darurat sebab tiada darurat,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan berkata Kabinet yang akan bermesyuarat esok akan menentukan sama ada Pasir Gudang akan diisytihar darurat atau sebaliknya.

Kejadian pencemaran bahan kimia yang berlaku 7 Mac yang lalu sehingga kini memngakibatkan 947 orang awam jadi mangsa dan dirawat manakala 9 daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sebanyak 111 sekolah di Pasir Gudang pula telah diarah tutup serta merta. – MalaysiaGazette

One thought on “Usul Isytihar Darurat Pencemaran Bahan Kimia Di Pasir Gudang Ditolak – Timb. Menteri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.