‘Rakyat Malaysia Tak Terlibat Dalam Letupan Bom Di Ankara’

KUALA LUMPUR – Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat dalam kejadian letupan bom di Ankara pada Ahad yang sehingga kini telah meragut 34 nyawa dan mencederakan 125 orang.

 

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar menjelaskan, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara bagaimanapun kini sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa di Turki untuk mengesahkan sekiranya terdapat rakyat Malaysia yang terlibat dalam serangan tersebut.

 

Pihak kedutaan juga difahamkan akan terus berhubung dengan rakyat Malaysia yang berada di sana termasuk para pelajar yang menuntut di Ankara.

 

“Kementerian Luar Negeri ingin mengingatkan rakyat Malaysia yang bermastautin atau pun yang melawat Ankara hendaklah sentiasa mengutamakan keselamatan dan memantau suasana sekeliling serta mematuhi nasihat yang dikeluarkan Kerajaan Republik Turki.

 

“Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Ankara juga akan terus memantau situasi ini dari semasa ke semasa,” jelas kenyataan itu.

 

Sekurang-kurangnya 34 orang terkorban manakala 125 cedera akibat letupan bom di Ankara, Turki pada Ahad.

 

Bom itu meledak di Dataran Ataturk Bulvari dekat pusat bandar Ankara dan letupannya boleh didengari dari jarak beberapa kilometer.

 

Kesan letupan berkenaan, termasuk serpihan bahan yang terbakar telah terserak ke radius beberapa ratus meter dan jatuh ke bangunan Kementerian Dalam Negeri, mahkamah serta bangunan pejabat perdana menteri yang lama.

 

Menurut stesen televisyen tempatan NTV, letupan dipercayai akibat letupan sebuah bom kereta.

 

Jelas kenyataan itu lagi, Malaysia turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan bom kereta itu selain merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada Kerajaan Republik Turki serta kepada keluarga mangsa yang terlibat di dalam serangan tersebut.

 

“Kerajaan Malaysia menganggap serangan terbaru ini sebagai satu tindakan keganasan dan pihak bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan,” jelas kenyataan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.