Jenazah Dua Anggota Tentera Diterbangkan Ke Ibu Negara

KOTA KINABALU – Jenazah dua anggota tentera yang terkorban dalam kemalangan di Ranau semalam, dihantar pulang ke ibu negara menggunakan pesawat Malaysia Airlines, pagi tadi.

 

Penerbangan membawa jenazah Prebet Mohamad Zaim Salhudin, 20, dari Klang, Selangor dan Prebet Shahril Afizat Mohamad, 22, dari Kota Bahru, Kelantan, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, jam 10.45 pagi tadi.

 

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, berkata solat jenazah diadakan di Masjid As Salam, Kem Lok Kawi sebelum kedua-dua jenazah diterbangkan ke ibu negara untuk dibawa ke kampung halaman masing-masing bagi pengebumian.

 

“Anggota yang cedera juga kini dalam keadaan stabil dan hanya dua masih dirawat di hospital,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

 

Dalam kejadian jam 11.30 pagi semalam, dua anggota tentera berkenaan maut, manakala lima parah selepas trak membawa 26 anggota dari 22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Sri Kinabatangan, Sandakan, terbalik di Kilometer 137 Jalan Kota Kinabalu-Sandakan, Ranau.

 

Siasatan polis mendapati trak tentera itu terbabas dan tidak dapat dikawal di laluan berselekoh lalu terbalik di bahagian kiri jalan. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.