White House Sokong Bebaskan Anwar

KUALA LUMPUR – White House semalam mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung petisyen ‘Bebaskan Anwar’ yang diwujudkan dalam web We The People milik negara Uncle Sam itu.

 

“Amerika Syarikat sangat kecewa dengan keputusan mahkamah berkaitan Anwar yang pada mulanya didapati tidak bersalah namun keputusan bertukar sebaliknya selepas kerajaan Malaysia mengemukakan rayuan.

 

“Kami telah menjelaskan berkenaan perkara ini melalui kenyataan kepada kerajaan Malaysia dan kami akan terus berbuat demikian,” kata kenyataan itu.

 

Setakat semalam, petisyen itu telah mengumpul 113,830 tandatangan, melebihi 100,000 tandatangan pada awal dimuat naik ke laman web We The People selepas Anwar dihukum lima tahun penjara kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

 

Washington berkata, keputusan akhir Anwar yang berbeza dengan keputusan awal telah membangkitkan kebimbangan yang serius tentang kedaulatan undang-undang dan sistem kehakiman Malaysia.

 

Menurutnya, kebimbangan itu ditambah lagi dengan hasrat kerajaan Malaysia untuk memperkukuhkan dan memperluaskan lagi penguatkuasaan Akta Hasutan.

 

“Amerika Syarikat dan Malaysia telah membina satu hubungan yang baik dan kami akan kekal komited untuk memperluaskan kerjasama kami melibatkan cabaran ekonomi dan keselamatan negara berdasarkan kepentingan di Asia dan di seluruh dunia.

 

“Pada masa sama, kita akan terus mendesak kerajaan Malaysia untuk melaksanakan undang-undang secara adil dan telus bagi meyakinkan Malaysia mengamalkan demokrasi, keadilan dan juga ekonomi,” kata kenyataan itu lagi.

 

Kenyataan itu berkata, sejarah telah membuktikan mana-mana negara yang menekankan hak asasi manusia terhadap rakyatnya, tanpa memikirkan kecenderungan politik, etnik, bangsa, agama ataupun orientasi seks, adalah lebih harmoni dan juga stabil.

 

Petisyen ‘Bebaskan Anwar’  dimulakan oleh bekas Duta AS di Kuala Lumpur, John Mallot pada 10 Februari lalu, iaitu hari sama keputusan kes liwat Anwar diumumkan Mahkamah Persekutuan.

 

Pada Isnin lalu, kerajaan Amerika Syarikat mengakui membuat kesilapan apabila membuang petisyen menuntut pembebasan ketua pembangkang itu daripada laman web White House.

 

Menurut Kedutaan AS di Kuala Lumpur, petisyen yang mahu dibuang sebenarnya adalah petisyen yang menuntut AS menghormati kedaulatan Malaysia, selepas pemeriksaan  mengesan penipuan dilakukan White House mendapati tandatangan yang menyokong petisyen kedua itu mempunyai ‘kejanggalan’. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.