Rekod Muhyiddin Paling Menyedihkan, Kit Siang Gesa Letak Jawatan

Kuala Lumpur  – Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal memainkan peranan dan tugas sebagai Menteri Pendidikan dan sehubungan itu wajar meletakkan jawatan.

 

Menurutnya, antara kegagalan Timbalan Perdana Menteri itu dalam bidang pendidikan ialah tidak dapat meningkatkan prestasi pendidikan negara dan gagal bertindak segera susulan penilaian Program Penilaian Pelajar Internasional (PISA).

 

“Berdasarkan rekod menyedihkan sepanjang sepuluh tahun beliau bergelar Menteri Pendidikan, Muhyiddin seharusnya meletakkan jawatan,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu dalam kenyataan media.

 

Beliau menambah, “Ramai lagi rakyat yang mampu menjadi Menteri Pendidikan bagi memulakan usaha membentuk sistem pendidikan bertaraf dunia kepada semua.”

 

Kit Siang mendakwa, masalah pendidikan negara di bawah pentadbiran Muhyiddin bukan hanya sekadar penurunan prestasi pelajar, malah tiga lagi masalah lain telah disebut dalam PISA dan kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS).

 

“Malaysia tersekat di kedudukan sepertiga terbawah dari kalangan negara yang terlibat dalam penilaian antarabangsa dan tidak membuat sebarang peningkatan menuju tingkat sepertiga teratas dari kalangan negara-negara yang dinilai.

 

“Walaupun berada di kedudukan sepertiga terbawah, Malaysia sedang dipintas oleh negara-negara lain seperti Kazakhstan dan Thailand,” jelasnya.

 

Kata Kit Siang, keputusan yang paling tidak menyenangkan ialah bertambahnya jurang antara Malaysai dan negara-negara berprestasi cemerlang.

 

Ia berdasarkan kesenjangan dalam skor antara murid berumur 15 tahun di Malaysia berbanding rakan seusia di Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Shanghai berdasarkan penilaian PISA sebelum ini.

 

“Berasaskan perbezaan 38 markah skala PISA, kesenjangan tersebut kian melebar ke tahap di mana seorang pelajar 15 tahun di Shanghai, Singapura dan Korea Selatan mendapat lebih empat ke lima tahun persekolahan berbanding rakan seusia di Malaysia,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.